‘Pesta’ keluar PKR, Cabang Tebrau pula hampir lumpuh

354

26 JULAI: Setiap kali hujung minggu, ada sahaja Cabang PKR di seluruh negara ‘bergegar’ apabila pemimpin dan ahli mereka mengumumkan keluar parti itu bagaikan satu pesta pula.

Terbaru malam tadi, Cabang PKR Tebrau, Johor pula menyaksikan 721 ahli di kawasan itu mengumumkan keluar parti diketuai Naib Ketua PKR Cabangnya, Mohd Ramly Ahmad.

Mereka mengumumkan keluar parti setelah mendakwa hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti.

Menurut Mohd Ramly, tindakan ini dilakukan selepas kecewa dengan kemelut yang melanda parti berkenaan.

Tegas beliau, mereka yang keluar PKR itu melibatkan pemimpin-pemimpin utama termasuk ketua-ketua sayap parti daripada enam Ranting PKR di Taman Kota Masai.

“Seramai 721 ahli yang keluar parti pada hari ini adalah fasa pertama. Fasa kedua akan mengumumkan keluar parti selepas Hari Raya Aidiladha, manakala fasa ketiga pada pertengahan Ogos ini.

“Semuanya akan melibatkan 2,500 ahli daripada 7,500 ahli PKR Cabang Tebrau. Kita buat secara berperingkat-peringkat kerana tidak mahu majlis keluar parti diadakan secara bersesak-sesak,” katanya pada sidang media di Pusat Komuniti Zon Ciku, Taman Kota Masai di sini, malam tadi

Mohd Ramly yang juga Timbalan Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Exco AMK Pusat berkata, secara rasminya enam ranting iaitu Ranting Jalan Ciku, Jalan Delima, Jalan Tembikai, Jalan Mangga, Jalan Kuini dan Jalan Pulasan sudah terbubar.

“Segala butiran serta senarai mereka yang keluar parti akan diserahkan kepada pucuk pimpinan pada minggu hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ramly menambah, keputusan mereka keluar parti tidak didorong atau kerana habuan mana-mana pihak sebaliknya atas kerelaan masing-masing selepas melihat kepincangan dalam parti yang semakin parah.

“Kami menganggap PKR sudah tidak relevan lagi dan kepimpinan sedia ada lebih kepada diktator. Mana-mana ahli yang tidak sefahaman akan terus ‘dimatikan’ selain tujuan asalnya yang mahu wujudkan demokrasi sudah berkubur.

“Malah nama parti yang menggunakan perkataan ‘Keadilan’ juga sudah berkubur. Tidak ada lagi makna keadilan seperti yang diperjuangkan. Siapa yang tidak sehaluan akan dipancung termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.

Mohd Ramly bagaimanapun berkata, mereka masih belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti lain tetapi ketika ini mengambil pendirian menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kami lebih berhasrat untuk melibatkan diri dalam empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.