Kuching Zon Merah, larangan perjalanan akan diputuskan

67

26 JULAI: Daerah Kuching kini diisytiharkan sebagai Zon Merah selepas mencatatkan 41 kes COVID-19, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata empat lagi kes baharu dikesan dalam Kluster Sentosa dengan hospital berkenaan telah diarah tututp.

“Semua kakitangan dikuarantin di dalam hospital itu. Pengesanan kontak rapat juga telah dan sedang dijalankan.

“Seramai 677 individu telah disaring dan diuji. Daripada jumlah itu, 657 masih menunggu keputusan dan Kuching telah menjadi Zon Merah,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook, malam tadi.

Sementara itu di Kuching, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk membincangkan perkembangan terkini pandemik COVID-19 di Daerah Kuching.

Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi berkata, daerah berkenaan mencatatkan peningkatan ketara kes positif dengan hari ini sahaja lapan kes baharu dilaporkan.

“Terdapat 39 kes (baharu) positif (terkumpul sejak Ahad lepas) dan dengan satu lagi kes, kami akan menjadi zon merah daripada kuning. Apabila menjadi (zon) merah, ia mencerminkan betapa seriusnya keadaan ini. Ini memerlukan langkah-langkah tertentu diambil. Mesyuarat esok diadakan khas untuk menentukan langkah-langkah ini,” katanya.

Beliau berkata apa sahaja langkah yang dipertimbangkan dan ditentukan akan dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan.

“Kami mahu mereka bertindak supaya kami dapat menguatkuasakan atau melaksanakannya secepat mungkin,” katanya, sambil menambahkan bahawa larangan perjalanan akan menjadi antara isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.