KKM lapor 13 kes baru, kluster dan kematian bertambah

143

26 JULAI: Selepas dua hari berturut-turut mencatat bilangan jangkitan baharu COVID-19 melebihi 20 kes, hari ini kes baru dilaporkan turun kepada 13 kes dengan tiga daripadanya kes import.

Walau bagaimanapun, satu kes kematian baru dilaporkan akibat COVID-19 menjadikan 124 keseluruhannya melibatkan seorang wanita berusia 63 tahun yang sebelum ini dirawat di Hospital Umum Sarawak, Kuching sejak 9 Julai lalu.

Pada masa sama, kes jangkitan tempatan yang masih mencatatkan dua angka untuk beberapa hari kebelakangan ini terus menimbulkan kerisauan apatah lagi hari ini turut dilaporkan pertambahan satu lagi kluster baru di Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster dikenali Bukit Tiram itu melaporkan tujuh kes baru dengan enam daripadanya warga tempatan manakala tiga lagi jangkitan dalam negara dilaporkan masing-masing satu kes di Pahang, Sabah dan Sarawak.

Katanya, kluster Sentosa di Kuching juga terus mencatatkan kes baru dengan hari ini dengan satu kes dilaporkan melibatkan seorang warganegara.

“Kes kematian ke-124 (kes ke-8743) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan hypercholesterolemia.

“Beliau mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai 2020 serta mendapat rawatan pada 9 Julai. Beliau dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari yang sama untuk rawatan lanjut. Ujian COVID-19 didapati positif.

“Keadaan beliau didapati merosot dan kemudiannya semakin tenat. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Julai 2020 jam 12.04 pagi. Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan, dengan pertambahan 13 kes baharu dan jumlah kes sembuh pula sebanyak enam, maka jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 terkini adalah 173 kes.

Katanya, tiga kes yang mendapat jangkitan di luar negara pula melibatkan seorang warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Tiga kes itu ialah kepulangan dari Pakistan (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); Kazakhstan (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan Indonesia (satu kes di Kelantan),” jelasnya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan sehingga 24 Julai 2020, seramai 17,897 orang pengembara telah mendapat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta telah ditanggalkan gelang perintah pengawasan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Walau bagaimanapun, katanya, sehingga 24 Julai 2020, didapati masih terdapat 2,897 orang pengembara yang masih belum tampil ke PKD untuk mendapat pelepasan.

Justeru, Kementerian Kesihatan akan terus kerjasama rapat dengan pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu-individu yang masih belum tampil ke PKD dengan keputusan ujian COVID-19 yang perlu dijalankan pada hari ke-13.

“Saya juga menasihatkan orang ramai agar waspada dan terus patuhi saranan dan nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan,” tegasnya. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.