Kes baru COVID-19 turut naik balik di Korea

52

26 JULAI: Kejayaan Korea Selatan mengekang penularan COVID-19 ketika gelombang pertama dikagumi dunia sehingakan republik itu menjadi negara contoh dalam memerangi wabak berkenaan.

Namun sama seperti Malaysia, Korea Selatan juga tidak terkecuali melaporkan peningkatan kes baharu jangkitan COVID-19 kebelakangan ini terutama akibat kes import.

Semalam misalnya, negara itu mencatatkan angka tertinggi dalam tempoh hampir empat bulan akibat puluhan kes import.

Negara itu mencatatkan peningkatan 113 kes baharu, termasuk 86 kes dalam kalangan individu yang tiba dari luar negara, menjadikan jumlah keseluruhan kini berjumlah 14,092 kes, menurut Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Korea.

Ini juga angka kedua tertinggi sejak 31 Mac lalu, menyaksikan Korea Selatan melaporkan tambahan 125 kes baharu, dan juga kali pertama ia mencatatkan lebih 100 kes sejak 1 April.

Susulan itu, semua ketibaan dari luar negara perlu menjalani kuarantin selama dua minggu.

Korea Selatan adalah salah satu negara di luar China yang mengalami penularan terburuk, namun berjaya mengekangnya secara terkawal menerusi program ‘pengesanan, ujian dan rawatan’ secara meluas.

Ia juga dilihat sebagai model kejayaannya memerangi wabak itu dengan masyarakat awamnya mematuhi kawalan langkah keselamatan kesihatan seperti pemakaian pelitup muka.

Peningkatan kes berlaku ketika negara itu merancang membenarkan sebilangan kecil peminat besbol kembali ke stadium esok, ketika pihak berkuasa bertungkus lumus memulihkan keadaan yang terjejas akibat krisis COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.