24 PATI Rohingya dikhuatiri lemas selepas nekad terjun laut

69

26 JULAI: Akibat nekad terjun beramai-ramai dari bot yang dinaiki menyebabkan seramai 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya yang disyaki cuba menceroboh negara ini, dikhuatiri lemas di perairan barat Pulau Langkawi malam tadi

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata laporan diterima pihaknya berdasarkan maklumat polis selepas seorang pengadu yang juga migran mendakwa terjun dari sebuah bot bersama 24 mangsa lagi.

Menurut beliau, Maritime Rescue Sub-Coordinator (MRSC) Langkawi menggerakkan Bot Pelindung 2 ke lokasi sebaik menerima laporan pada jam 10.30 malam tadi.

“Pengadu yang dikenali sebagai Nor Hossain, 27, mendakwa hanya dia yang terselamat selepas berenang ke daratan. Dia kini dalam tahanan polis untuk membantu siasatan lanjut.

“Operasi hari ini membabitkan kapal KM GAGAH dan bot Pelindung 2 serta sebuah helikopter Agusta Westland AW139 membabitkan kawasan pencarian seluas 109 batu nautika persegi di barat perairan Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi memberitahu, Maritim Malaysia Kedah dan Perlis turut menyalurkan maklumat kejadian kepada agensi penyelamat lain termasuk komuniti nelayan setempat dan pihak berkuasa Thailand melalui Maritime Rescue Coordinator Center (MRCC) Putrajaya bagi membantu pencarian mangsa.

“Komuniti maritim boleh melaporkan tentang sebarang petunjuk atau penemuan mangsa di laut atau di pesisir pantai kepada pasukan penyelamat menerusi talian 999 ataupun menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 atau 04-966 5307,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.