SOP PKP diperketat semula – Ismail Sabri

584

25 JULAI: Kerajaan hari ini bersetuju secara dasar untuk memperketatkan semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil susulan kebimbangan peningkatan kes COVID-19 di negara ini dalam tempoh hampir seminggu ini.

“Secara dasarnya keputusan ini dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP hari ini.

“Jawatankuasa teknikal akan berbincang esok untuk memperincikan SOP dan akan dibentangkan pada mesyuarat menteri-menteri Isnin ini,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata seramai 319 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa kini menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di empat Stesen Kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Ismail Sabri berkata kumpulan berkenaan terdiri daripada mereka yang pulang dari 12 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, China dan Australia.

“Keputusan untuk membuka semula Stesen Kuarantin untuk perintah kuarantin wajib 14 hari diambil setelah mengambil kira peningkatan kes import dan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang menyebabkan peningkatan risiko penularan jangkitan COVID-19.

“Justeru, bermula 24 Julai 2020, Kerajaan telah memutuskan supaya semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang masuk ke Malaysia (expatriate, pasangan dan tanggungan rakyat Malaysia) perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

“Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan COVID-19,” katanya yang memaklumkan sehingga kini seramai 9,600 individu masih menjalani proses kuarantin wajib di rumah masing-masing.

Berikutan itu, Ismail Sabri berkata pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama anggota PDRM akan membuat pemeriksaan mengejut (spot-check) untuk memastikan semua yang terlibat mematuhi SOP yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata PDRM telah menahan 330 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP semalam termasuk 23 orang sudah direman manakala 3 individu dijamin dan 304 individu lagi dikenakan kompaun.

Tambah Ismail Sabri, kesemua mereka terlibat dalam aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 63,511 pemeriksaan semalam (24 Julai 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,821 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,214 anggota telah membuatpemantauan di 3,986 pasar raya, 5,580 restoran serta 1,408 penjaja, 1,142 kilang, 3,639 bank dan 755 pejabat kerajaan.

“PDRM juga memantau sebanyak 1,122 terminal pengangkutan darat, 273 terminal pengangkutan air serta 130 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.