Polis buru individu gagal jalani saringan kedua COVID-19

64

25 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan, menahan dan mendakwa  2,897 individu yang didapati gagal tampil untuk menjalani ujian saringan kedua COVID-19 pada hari ke-13 proses kuarantin di rumah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini individu terbabit sudah diarahkan untuk menghubungi pejabat kesihatan daerah (PKD) yang terdekat untuk melakukan ujian saringan kedua.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis sedang mengesan lebih 2,800 rakyat Malaysia yang masih belum melakukan ujian saringan kedua COVID-19 selepas 13 hari menjalani kuarantin sebaik pulang dari luar negara bakal ditahan dan didakwa.

Abdul Hamid berkata polis akan bertindak mulai hari ini selepas mereka memperoleh senarai nama pesakit terbabit daripada Kementerian Kesihatan.

“Mereka akan berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika masih enggan menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua, bermula hari ini.

“Sekiranya mereka yang ditahan ini positif COVID-19, kita akan dakwa mereka selepas pulih. Saya amat tegas mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas Kabinet bersama Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, taklimat mendedahkan punca penularan baharu disebabkan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan polis telah diminta meningkatkan penguatkuasaan undang-undang.

Abdul Hamid turut memberi amaran sama kepada lebih 9,600 rakyat Malaysia yang kini menjalani kuarantin di rumah supaya mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Kami akan buat pemeriksaan mengejut di rumah mereka bermula hari ini, jangan degil,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.