Buka sempadan: Tubuh badan penyelaras APEC segera

40

25 JULAI: Sebuah badan penyelaras sementara perlu ditubuhkan segera dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk menyediakan garis panduan khusus berhubung pembukaan semula sempadan serta penyediaan protokol kuarantin COVID-19.

Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) berkata, badan itu berperanan untuk menyelaraskan kerjasama, perkongsian maklumat serta menilai data sedia ada bagi kriteria yang dipersetujui untuk membolehkan ekonomi-ekonomi APEC menimbang masa serta kaedah pembukaan semula.

Menurut majlis berkenaan, langkah tersebut dapat membantu ekonomi-ekonomi terbabit untuk melakukan usaha berkenaan dengan mengamalkan langkah selamat secara optimum.

“Pandemik COVID-19 telah membangkitkan kepentingan aspek kesalinghubungan digital yang mantap bagi menggalakkan penyertaan ekonomi serta memacu pertumbuhan inklusif.

“Ekonomi-ekonomi APEC harus menerapkan pembangunan infrastruktur digital yang lebih selamat, mudah diakses serta mampu untuk semua serta memudahkan aliran data merentasi sempadan,” kata ABAC dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut ABAC, perlu wujud komitmen perkongsian hasil penyelidikan dan penyelesaian vaksin secara percuma dan terbuka manakala perdagangan wajar terus memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi.

Selain itu, ABAC berkata, kalangan pemimpin Asia Pasifik dijangka membentangkan Laporan COVID-19 ABAC kepada Menteri-Menteri Bertanggungjawab Bagi Perdagangan (MRT).

Laporan itu antara lainnya menggariskan cadangan majlis itu sebagai maklum balas terhadap impak pandemik serta meletakkan asas bagi pemulihan ekonomi serta daya tahan rantau tersebut.

MRT APEC dijadual berlangsung esok bagi membincangkan cabaran akibat pandemik COVID-19 selain mengemudi rantau ini ke arah pemulihan dengan lebih pantas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.