23 kes baharu COVID-19, tiada kematian

58

25 JULAI: Sebanyak 23 kes baharu COVID-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,884 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, enam kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat empat rakyat Malaysia dan dua warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

Menurut beliau, enam kes import tersebut adalah dari Singapura (3 kes), Indonesia (1 kes), Filipina (1 kes) dan Rusia (1 kes).

“Daripada 17 kes penularan di dalam negara, 10 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia manakala tujuh kes adalah dalam kalangan bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham memberitahu, tujuh kes jangkitan dalam negara yang melibatkan warga asing turut membabitkan seorang tahanan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil yang baru lepas bersalin.

“Dia tidak bergejala dan sedang dirawat di Hospital Serdang,” jelasnya.

Beliau menambah, dua kes berlaku di Selangor, masing-masing dari kluster Rumah Kongsi Sepang dan saringan di tempat kerja.

Dr Noor Hisham berkata, empat kes dikesan di Johor pula melibatkan kluster Warga Emas Kluang (1 kes), kluster Bukit Tiram (2 kes) dan saringan sebelum masuk kerja (1 kes).

Jelas beliau, 10 kes penularan COVID-19 dalam negara melibatkan rakyat Malaysia (10 kes) pula berlaku di Johor (2 kes) dan Sarawak (8 kes).

“Sehingga kini, hanya tiga kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memberitahu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 167 kes di mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Terdapat 17 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,594 kes atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes atau 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.