Pas sedia gerak jentera bantu calon PN di PRK DUN Slim

183

24 JULAI: Pas sedia menggerakkan jentera parti itu bagi membantu kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos depan.

Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, kesediaan itu sudah semestinya diberi atas dasar kerjasama sebagai rakan seperjuangan dalam PN.

“Insya-Allah, yang bertanding itu daripada PN. Bagaimanapun, bilangan jentera yang akan dihantar belum disahkan buat masa ini.

“Sebaliknya ikut keperluan, (gerakkan jentera kempen),” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Idris berkata demikian ketika ditanya pemberita persiapan Pas dalam membantu UMNO yang berhasrat meletakkan calon bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Slim itu.

Terdahulu, laporan media tempatan sebelum ini memberitahu UMNO Perak sudah mempunyai sembilan nama individu terdiri daripada anak tempatan daripada UMNO Bahagian Tanjung Malim untuk dicalonkan bertanding pada PRK DUN Slim bagi mewakili BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos depan sebagai tarikh PRK DUN Slim berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib pada 15 Julai lepas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.