PAS nafi tak bersedia ketika bentang RUU 355

143

24 JULAI: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya parti berkenaan tidak bersedia ketika mencadangkan pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU 355.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu di Terengganu dan Kelantan sudah melaksanakannya melalui peruntukan enakmen syariah yang ada.

“Dia mana tahu? Terengganu sudah ada undang-undang. Kelantan pun sudah ada, cuma (tinggal di peringkat) Perlembagaan (Persekutuan) sahaja.

“Saya difahamkan Negeri Sembilan pun ada juga, Sabah pun ada kalau tak silap saya. Cuma (tinggal) proses Perlembagaan.

“Kenyataan itu dibuat oleh budak (anak muda) yang masih baharu, cuma dia tak baca habis, budak lagi (anak muda). Dia tak sempat dengan tahun 1990-an. Kita tahun 1990-an sudah selesai (pinda Enakmen Syariah di Terengganu dan Kelantan),” katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan EXCO Agama Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Abu Hafiz Salleh Hudin yang menyatakan PAS tidak mempunyai persiapan teknikal daripada segi perundangan mahu pun hujah agama ketika mencadangkan RUU 355.

Abdul Hadi membentangkan RUU 355 buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 sebagai RUU persendirian.

Bagaimanapun, perbahasan mengenainya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentangkan pada November 2016 dan April 2017.

RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum mahkamah syariah bagi kesalahan jenayah syariah tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam, namun ia hanya di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.

Sementara itu, ditanya mengenai pengagihan kerusi antara parti yang membentuk Perikatan Nasional (PN), Abdul Hadi berkata, rundingan antara ketiga-tiga parti itu masih berlangsung dan tidak timbul soal negeri idaman parti-parti tertentu.

“Tidak timbul (isu negeri idaman parti-parti tertentu) kerana perbincangan dibuat membabitkan pimpinan tertinggi parti dan bukannya peringkat negeri,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.