Didakwa cederakannya, Pavithra maafkan suami

110

24 JULAI: Selepas dituduh memiliki senjata berbahaya pagi tadi, suami seorang Youtuber masakan popular didakwa pula petang ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Selasa lepas.

Tertuduh, M. Sugu, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, Sugu yang merupakan bekas pekerja ladang di Sungai Siput didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian bibir, pipi sebelah kiri dan lengan sebelah kanan isterinya, S. Pavithra, 28, dengan menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan letak kereta Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh antara 4 hingga 5 petang, 21 Julai lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 manakala peguam Mahinderjit Singh yang mewakili Sugu merayu jaminan rendah atas alasan tertuduh telah dikenakan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan pagi tadi.

Mahinderjit turut memohon jaminan rendah kerana isteri tertuduh, Pavithra telah menarik balik laporan yang dibuatnya di Balai Polis Sungai Senam, pada Rabu lepas selain mempunyai dua anak yang masih kecil.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Ogos sebagai sebutan semula kes.

Pagi tadi, Sugu didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis Tiger di parkir Wad Paliatuf PCU hospital sama, hari yang sama pada kira-kira 6 petang.

Sugu kemudian tiba di mahkamah sekali lagi pada kira-kira 3 petang tadi dengan memakai kemeja-T berwarna merah dalam keadaan bergari untuk menghadapi pertuduhan kedua.

Pavithra turut hadir berbaju kuning dan dilihat berhubungan baik bersama suaminya itu.

Sementara itu, ketika ditemui media selepas selesai urusan jamin suaminya, Pavithra berkata, beliau memaafkan perbuatan M. Sugu.

Pavithra, 28, berkata, apa yang terjadi semuanya berkaitan masalah keluarga dan dirinya sudah maafkan suami atas apa yang berlaku.

Katanya, dia tidak mahu lagi memikirkan masalah yang berlaku, sebaliknya mahu memberi fokus kepada kehidupan mereka sekeluarga termasuk kembali meneruskan program masakan di YouTube.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.