Manfaatkan peluang pasaran minyak sawit di Romania

21

24 JULAI: Pengeksport minyak sawit Malaysia perlu memanfaatkan peluang pasaran di Romania yang mengalami penyusutan pengeluaran biji bunga matahari, peningkatan penggunaan minyak dan lelemak serta kekurangan kemudahan penyimpanan.

Majlis Minyak Sawit Malaysia berkata, Romania mengeluarkan lebih 700,000 tan minyak dan lelemak setiap tahun, dengan minyak bunga matahari meliputi 65 peratus atau 500,000 tan daripada pengeluaran keseluruhan.

Negara tersebut merupakan pengeluar biji bunga matahari terbesar di Kesatuan Eropah (EU).

MPOC berkata bagaimanapun, pengeluaran biji bunga matahari di negara tersebut diunjurkan susut 13 peratus pada pada musim 2020/21 disebabkan margin keuntungan lebih rendah dan penggiliran tanaman, berbanding dengan peningkatan 26 peratus pada 2019/20.

“Memandangkan pengisaran biji boleh makan dijangka rendah tahun ini, kemungkinan besar Romania mengimport lebih banyak minyak sayuran pada 2020.

“Purata import tahunan mereka adalah 270,000 tan dan pada 2020 ia boleh mencecah 300,000 tan. Ini memberikan peluang besar kepada minyak Malaysia untuk memperluas kehadiran di negara itu menerusi pemasaran,” kata MPOC melalui laman sesawangnya.

MPOC berkata Romania menggunakan sebanyak 650,000 tan minyak dan lelemak, dengan minyak bunga matahari dan biji sesawi membentuk gabungan 62 peratus daripada pengambilan keseluruhan.

Penggunaan di negara itu dijangka mencapai 642,000 tan tahun ini berbanding 637,100 tan tahun lepas dan 531,900 tan pada 2015. Minyak sawit merupakan minyak sayuran ketiga yang paling banyak digunakan selepas minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi.

MPOC berkata hampir semua minyak sawit yang diimport di Romania digunakan dan tidak ada stok yang dibawa ke tahun berikutnya sekali gus menunjukkan bahawa negara itu mempunyai kemudahan penyimpanan yang terhad dan hanya akan membeli apa yang diperlukan.

Walaupun menjadi pengeksport bersih, Romania masih mengimport lebih 110,000 tan minyak dan lelemak. Minyak sawit mendahului senarai minyak yang diimport dengan import tahunan hampir 60,000 tan iaitu lebih 50 peratus daripada jumlah import.

Import minyak sawit Romania merangkumi di antara 20 dengan 25 peratus daripada jumlah minyak dan lelemak yang diimport ke negara itu setiap tahun, dan 80 peratus minyak sawit yang diimport adalah melalui Netherlands dengan bakinya dari Malaysia.

Pada 2019, Malaysia mengeksport 12,104 tan minyak sawit bernilai RM37.14 juta. Olein sawit bertapis, diluntur dan nyahbau, kategori utama minyak sawit yang diimport, digunakan dalam industri makanan siap.

“Terdapat peluang bagi eksport minyak sawit Malaysia ke Romania sekiranya pengeksport Malaysia boleh memanfaatkan kelebihan eksport secara langsung memandangkan kaedah itu boleh menjimatkan kos dan menjadi lebih murah berbanding melalui negara ketiga.

“Kami dimaklumkan oleh sumber bahawa kebanyakan minyak sawit yang diimport adalah dalam beg anjal, dan ia digunakan terutama sebagai bahan untuk pemprosesan dan pembuatan makanan,” kata MPOC.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.