Jangkitan baru mendadak naik, kes aktif kini cecah 161

696

24 JULAI: Kes jangkitan baru COVID-19 meningkat mendadak daripada sembilan kes semalam kepada 21 kes hari ini sekali gus menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu kini melonjak kepada 161 kes.

Lebih membimbangkan, kes jangkitan dalam negara sahaja mencecah 16 kes dengan 13 daripadanya warganegara dan rekod ini adalah antara yang tertinggi dalam tempoh beberapa hari ini.

Selain itu, tiga kluster baharu turut dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini iaitu Elsa, Kluster PUI Ramnad dan Kluster PUI AI Khobar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lapan daripada kes tempatan dicatatkan di Sarawak melibatkan kluster Sentosa dengan kesemuanya rakyat tempatan.

Katanya, tiga lagi kes dilaporkan di Pahang dengan melibatkan dua bukan warganegara, Johor (dua – seorang bukan warganegara), Kuala Lumpur (dua) dan satu kes lagi di Selangor.

“Lima kes yang telah mendapat jangkitan di luar negara pula melibatkan tiga warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia atau dibenarkan masuk di atas urusan kerja.

“Lima kes import tersebut adalah masing-masing satu kes dari Singapura, Australia; Filipina; Pakistan dan Qatar,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Tambah Noor Hisham, sehingga kini, hanya lima kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” ujarnya.

Dalam kenyataan itu, Noor Hisham memaklumkan ketiga-tiga kluster tersebut merupakan penularan di dalam negara yang telah berpunca daripada kes import.

“KKM menggesa pengembara yang telah pulang ke Malaysia dan sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah untuk mematuhi sepenuhnya kepada syarat yang telah ditetapkan.

“Ini sepert terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.5/2020 (Annex 10a dan 10b: Home Assessment Tool),.

“Orang ramai juga diminta agar waspada dan terus patuhi saranan dan nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian,” katanyaOleh -M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.