China pula mahu tutup konsulat AS di Chengdu

29

24 JULAI: Sebagai tindak balas penutupan perwakilan China di Houston, Beijing kini mempertimbangkan untuk menutup konsulat Amerika Syarikat (AS) di bandar raya Chengdu.

Memetik akhbar South China Morning Post, misi di Chengdu, mempunyai kepentingan strategik dan penutupannya akan meruncingkan lagi hubungan yang sudah tegang antara Washington dan Beijing.

Misi itu meliputi wilayah barat daya negara berkenaan, termasuk Sichuan, Yunnan, Guizhou, wilayah autonomi Tibet dan Chongqing.

Pada Rabu, beberapa agensi berita melaporkan, Beijing mempertimbangkan untuk menutup konsulat AS di Wuhan.

Bagaimanapun, ketua editor akhbar rasmi Times China, Hu Xijin, mengatakan menutup konsulat Wuhan bukanlah satu langkah yang tegas memandangkan AS sudah membawa pulang staf misi itu selepas wabak COVID-19 menular di China.

Selain misi di Wuhan dan Chengdu, AS mempunyai konsulat di Guangzhou, Shanghai dan Shenyang, serta konsulat untuk Hong Kong dan Macau.

Kerajaan AS semalam mengarahkan China meninggalkan premis diplomatik di Houston, Texas pada akhir minggu ini.

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, kemudian meminta Washington membatalkan keputusan itu, sambil menambah andai diteruskan Beijing akan bertindak balas.

Sementara itu, Presiden Donald Trump pada sidang media di Rumah Putih berkata beliau tidak menolak kemungkinan akan menutup beberapa lagi misi diplomatik China di AS.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.