Amirudin nafi dipecat PKR, tuntut Ravi minta maaf

1,075

24 JULAI: Bekas Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK) Port Dickson, Amirudin Abdul Wahab menafikan beliau dipecat sebelum keluar parti bersama 100 ahli AMK yang lain pada 11 Julai lalu.

Sehubungan itu, beliau mendakwa, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk M Ravi berhubung pemecatannya seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Tamil adalah tidak benar.

Amiruddin yang sebelum ini menjadi ahli PKR sejak 1999 menyatakan belum menerima sebarang surat berhubung pemecatan atau penggantungannya daripada Lembaga Disiplin parti.

“Saya memohon YB Datuk M Ravi menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf.

“Sekiranya beliau gagal berbuat demikian dalam tempoh 14 hari, barisan peguam saya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau,” katanya dalam sidang media di Sepang, hari ini.

Beliau menambah, kenyataan Ravi yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan seolah-olah telah menjatuhkan maruahnya.

Peguam yang mewakili Amirudin akan meneruskan saman fitnah terhadap Ravi sekiranya beliau gagal meminta maaf dalam masa yang ditetapkan.

Sebelum ini, Amirudin dan 100 ahli AMK Cabang Port Dickson menjelaskan, mereka keluar PKR kerana tidak bersetuju dengan hala tuju parti yang dilihat terlalu taksub dengan matlamat menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Mereka turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.