UAE: Solat sunat Aidiladha di rumah, elak aktiviti ziarah

70

23 JULAI: Umat ​​Islam di Emiriah Arab Bersatu (UAE) diminta menunaikan solat sunat Aidiladha di rumah walaupun masjid akan dibenarkan beroperasi dengan peningkatan kapasiti 50 peratus bermula bulan depan.

Jurucakap rasmi bagi Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan, Krisis dan Bencana Nasional UAE, Dr. Saif Al Dhaheri berkata, keputusan itu dibuat setelah menilai situasi semasa COVID-19 yang menjadi ancaman di seluruh dunia.

Katanya, Majlis Fatwa Emirates juga mengesyorkan ibadat korban dilakukan menerusi saluran badan kebajikan rasmi sahaja.

Al Dhaheri berkata, ini bagi membolehkan korban dikendalikan di rumah sembelih yang digariskan oleh pihak berkuasa tempatan yang menjamin penerapan langkah pencegahan.

“Ini supaya umat Islam tidak perlu bergerak jauh ke pasar ternakan atau rumah sembelih,” katanya dalam taklimat seperti dipetik media tempatan hari ini.

UAE membenarkan kapasiti masjid ditingkatkan kepada 50 peratus bermula 3 Ogos, berbanding 30 peratus ketika ini.

Bagaimanapun penjarakan sosial dua meter tetap perlu diamalkan ketika solat jemaah.

UAE masih mencatatkan jangkitan baru COVID-19 pada angka yang tinggi dengan 236 kes dilaporkan semalam.

Sementara itu, Al Dhaheri juga menggesa rakyat negara itu mengelakkan amalan kunjung dan perjumpaan sempena cuti umum Aidiladha.

“Kita boleh menggantinya dengan teknologi komunikasi serta memberi duit raya menerusi aplikasi dalam talian,” jelasnya.

Al Dhaheri menegaskan bahawa perlu untuk mengelakkan wanita hamil, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit kronik yang paling mudah terdedah kepada COVID-19 dan tidak membiarkan mereka meninggalkan rumah dan mengelakkan keluar ke tempat awam untuk menjaga kesihatan dan keselamatan mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.