Penerbit filem mesti ada lesen Finas

45

23 JULAI: Mana-mana pihak yang ingin melakukan aktiviti mengeluar, mengedar dan mempamerkan filem dan video di negara ini mesti mendapatkan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) terlebih dahulu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pemegang lesen yang membuat penggambaraan filem hendak memaklumkan kepada Finas tidak lewat daripada tujuh hari sebelum membuat penggambaraan menerusi borang tertentu yang dikeluarkan oleh perbadanan tersebut.

“Melalui Syarat 1 syarat-syarat tambahan lesen di bawah Peraturan 4 Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1983, pemegang lesen yang membuat penggambaran filem hendak memaklumkan kepada perbadanan tidak lewat dari tujuh hari sebelum membuat penggambaran.

“Sehubungan dengan itu, penerbit filem wajib memohon lesen pengeluaran filem serta surat perakuan penggambaraan tidak kira generasi media arus perdana atau media personal yang menerbitkan filem di media sosial atau media tradisi,” katanya dalam sesi waktu-waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Kluang, Wong Shu Qi berhubung peraturan mewajibkan semua penerbit filem memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran.

Bagi menjawab soalan tambahan Shu Qi berhubung sama ada peraturan di bawah Finas merangkumi semua jenis filem termasuk yang dihasilkan melalui aplikasi seperti Tik Tok, Saifuddin berkata, Finas tidak pernah menghalang orang ramai berkarya dalam menghasilkan video menerusi platform media sosial.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan orang ramai agar kandungan video yang dihasilkan di platform tersebut tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan berdasarkan Seksyen 2 Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

“Kita menggalakan semua orang, kecil besar tua muda atau organisasi untuk mengeluarkan apa-apa jenis filem seperti saya petik tadi (Seksyen 2 AKta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 pinddan 2013) asalkan mengikut undang-undang yang ada.

“Dan galakan kita telus sebagai contoh kerana itu kita ada geran yang disediakan oleh kerajaan. Kita ada Dana Kandungan Digital, kita ada FIMI (Filem in Malaysia Incentive) dan semua itu tertakluk pada peraturan sedia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.