Modul Permohonan Dalam Talian JPC dilancar esok

33

23 JULAI: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengemas kini modul dalam talian bagi permohonan pengecualian duti kastam atau Modul Permohonan Dalam Talian JPC yang akan dilancarkan pada 24 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, syarikat-syarikat akan dapat mengemukakan permohonan baharu, lanjutan, kuantiti tambahan, pindaan serta rayuan bagi duti import dan/atau pengecualian cukai bagi bahan mentah/komponen bagi aktiviti dalam sektor pembuatan serta duti import dan/atau pengecualian cukai jualan terhadap jentera/peralatan bagi aktiviti tertentu dalam sektor pertanian dan perkhidmatan, secara dalam talian.

“Modul Permohonan Dalam Talian JPC yang dipertingkatkan itu adalah antara inisiatif transformasi digital MIDA atau Sistem Transformasi Perusahaan (e-TRANS) untuk mempertingkatkan kecekapan pelbagai fungsi organisasi.

“Modul ini juga akan disepadukan serta diakses oleh kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran aliran data dan maklumat,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menambah, modul itu turut disesuaikan dengan sistem uCustom Jabatan Kastam Diraja dan dijangka dapat meningkatkan lagi kemudahan untuk pihak berkepentingan menjalankan perniagaan masing-masing.

Azman berkata, kemudahan pengecualian cukai akan turut memberi lebih banyak fleksibiliti dari segi aliran tunai untuk syarikat.

Platform digital yang dipertingkatkan itu juga sebagai tambahan kepada inisiatif-inisiatif MIDA sebelum ini seperti modul Surat Pengesahan MIDA untuk kalangan pengilang, operator hotel, operator pengangkutan selain syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi menuntut duti import dan/atau pengecualian cukai bagi jentera, peralatan dan alat ganti daripada Kastam.

Baru-baru ini, MIDA turut melancarkan modul Lesen e-Pengilang (e-ML) yang membolehkan syarikat mengemukakan dan menjejaki permohonan dalam talian untuk lesen-lesen pembuatan baharu, pembesaran atau pempelbagaian projek serta surat pengesahan bagi pengecualian daripada Lesen Pengilangan (ICA10).

Modul Permohonan Dalam Talian JPC yang dipertingkatkan itu dapat diakses menerusi https://investmalaysia.mida.gov.my pada 9 pagi, 24 Julai ini.

Berikutan itu, sistem JPC sedia ada tidak lagi berfungsi berkuat kuasa pada pukul 2 petang, 23 Julai, 2020.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.