Menteri beri penjelasan isu lesen filem

167

23 JULAI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menegaskan sebahagian daripada laporan yang tular mengenai keperluan lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk perfileman seperti yang dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini adalah tidak tepat.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, gambaran yang tidak tepat itu telah membawa kepada makna yang berbeza daripada maksud jawapan kepada soalan yang diajukan Ahli Parlimen PH-Kluang, Wong Shu Qi di Dewan Rakyat hari ini.

Sedangkan tegasnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah dan tidak berniat menggunakan Akta Finas 1981 untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika akta ini digubal pada awal 80-an.

Menurutnya, ketika menjawab soalan itu, beliau hanya menerangkan undang-undang sedia ada iaitu Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) yang diluluskan Parlimen pada tahun 1981 dan telah digunakan selama ini oleh kerajaan terdahulu, termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Pada 1981, teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan sebagainya. KKMM ambil maklum bahawa akta ini perlu penambahbaikan.

“Ini telahpun saya nyatakan dalam sidang media Kad Laporan 100 hari saya sebagai Menteri KKM pada 20 Jun 2020, iaitu KKMM sedang menilai semula semua undang-undang dibawah pengawasannya.

“Perlu ditegaskan bahawa kerajaan PN tidak pernah dan tidak berniat menggunakan akta ini untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika akta ini digubal,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Saifuddin, oleh yang demikian kementeriannya terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam memperbaiki bukan sahaja akta dibahaskan pagi tadi, malah, semua undang-undang di bawah pengawasan KKMM.

“Ini supaya bersesuaian dengan kehendak semasa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.