Lima ditahan langgar PKPP di pusat hiburan

56

23 JULAI: Premis hiburan antara aktiviti yang belum dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana sukar melakukan penjarakan sosial, namun hampir setiap hari ada saja yang ditahan kerana mengingkari perintah tersebut.

Terbaru, lima individu termasuk tiga wanita ditahan di premis hiburan tanpa lesen sekali gus ingkar PKPP dalam tiga serbuan di Sungai Petani, Kedah awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki iaitu pengusaha premis berumur 31 tahun serta dua wanita Laos berumur 28 dan 33 tahun yang merupakan pelayan, ditahan pada 12.20 pagi di sebuah premis di Sungai Petani.

Dalam serbuan kedua, seorang wanita penjaga premis berumur 36 tahun ditahan di sebuah premis di Taman Pekan Baru di Sungai Petani pada 12.15 pagi, manakala seorang lelaki berumur 22 tahun, juga penjaga premis, ditahan di Aman Square di Sungai Petani pada pukul 12.45 pagi tadi.

“Seramai 17 individu termasuk tiga wanita yang merupakan pelanggan pusat-pusat hiburan itu turut dikompaun kerana melanggar syarat PKPP 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan di semua pusat hiburan berkenaan seperti sistem audio, komputer riba, mikrofon, pembesar suara serta sejumlah wang tunai.

Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Kedah 1997, manakala suspek wanita Laos turut disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1963.

Menurut beliau, pihaknya akan lebih giat melaksanakan penguatkuasaan ekoran trend penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan kebelakangan ini.

“Kita semakin alpa dan lupa bahawa PKPP ini masih berjalan dan prosedur operasi standard mesti dipatuhi semua pihak bagi mengekang penularan pandemik itu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.