Kerajaan Warisan Sabah pasti tumbang – MP Kimanis

1,460

23 JULAI: Desas-desus pertukaran kerajaan di Sabah yang hangat diperkatakan kini memasuki ‘pusingan akhir’ dan dijangka berlaku tidak lama lagi.

Ahli Parlimen BN Kimanis, Datuk Mohamad Alamin tidak menafikan khabar angin tersebut disebabkan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diterajui Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kini semakin pincang termasuk hilang sokongan daripada partinya sendiri.

“Saya dengar angin semakin kencang setakat jam ini dan kita jangkakan benda ini akan berlaku. Berapa cepat kita tak pasti cuma angin perumpamaan itu sudah semakin kencang didengar saat ini.

“Kita tunggu sahaja mudah-mudahan ada berita yang mengejutkan akan berlaku. Bukan mengejutkan sangat tetapi djangka akan berlaku,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Semalam, PN BBC Portal melaporkan tentang desas-desus bahawa parti-parti pembangkang di Sabah sudah mempunyai bilangan kerusi yang cukup bagi menumbangkan kerajaan Warisan di samping suasana sekitar Istana Negeri kelihatan sibuk dengan orang politik dan media yang menunggu perkembangan terbaru politik di negeri itu.

Sebelum ini, blok penyokong kerajaan yang dianggotai Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) diketuai Mohd Shafie selaku Ketua Menteri menyandang 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Daripada jumlah itu, lima orang adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dan difahamkan, sokongan mereka tidak diambil kira dalam pembentukan kerajaan negeri dan baki 20 kerusi DUN lagi dikuasai oleh pembangkang yang terdiri dari Barisan Nasional (BN), Gabungan Bersatu Sabah (GBS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan BEBAS.

Difahamkan, gabungan pembangkang dikatakan sudah mempunyai lebihan satu kerusi sekaligus membolehkan mengambil alih kerajaan negeri yang memiliki 60 kerusi DUN bagaimanapun difahamkan, pemimpin parti yang mentadbir negeri dan pembangkang sedang berusaha mendapatkan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bagi memaklumkan bilangan atau kedudukan sokongan parti masing-masing.

Dalam pada itu, sudah tersebar senarai Kabinet baharu negeri Sabah dengan ADUN Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri baharu serta tiga timbalan ketua menteri.

Timbul juga khabar angin kemungkinan Mohd Shafie akan memohon membubarkan DUN Sabah sekiranya beliau hilang majoriti bagi membolehkan pilihan raya negeri.

Sebelum ini, gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) berjaya mengambil alih negeri Johor, Melaka, Perak dan Kedah daripada PH. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.