Kekalkan disiplin, elak gelombang kedua COVID-19

65

23 JULAI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak sesekali alpa dengan arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menzahirkan kegusaran berikutan peningkatan kes baharu COVID-19 kepada dua digit yang turut menyaksikan pertambahan beberapa kluster baharu.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah, kata Ahmad Fadil, menggesa rakyat supaya kekal fokus dan berwaspada serta berdisplin dalam memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi SOP, termasuk perintah kuarantin dan amalan kebiasaan baharu.

“Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat tentang kejayaan kerajaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan, khususnya barisan petugas hadapan dalam mengawal penularan wabak COVID-19.

“Usaha-usaha ini tidak bermakna jika negara menghadapi gelombang kedua dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang boleh memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan kemungkinan berlakunya peningkatan kes demam denggi jika rakyat mengambil sikap sambil lewa dan tidak memandang serius terhadap ancaman nyamuk Aedes.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menitahkan rakyat agar lebih peka dan mengambil perhatian serius terhadap ancaman nyamuk Aedes serta langkah pencegahan untuk mengurangkan peningkatan kes demam denggi.

“Seri Paduka menyeru rakyat untuk terus melaksanakan langkah pencegahan yang disarankan KKM dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan rumah dan kawasan persekitaraan bersih serta bebas daripada habitat pembiakan nyamuk Aedes.

“Al-Sultan Abdullah turut menyarankan rakyat mengamalkan langkah pencegahan daripada gigitan nyamuk ketika melakukan aktiviti di luar dan dalam rumah dengan menggunakan repelan serta semburan aerosol, dan mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran jika menunjukkan gejala demam denggi,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menegaskan kejayaan membendung wabak COVID-19 dan membanteras ancaman demam denggi adalah usaha kolektif kerajaan dan seluruh lapisan rakyat tanpa mengira pelbagai latar belakang.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya seluruh rakyat Malaysia berdoa agar situasi wabak COVID-19 dan demam denggi di negara ini dapat dikawal serta dibendung dengan berkesan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.