Hampir 2,000 yang dikuarantin tidak buat ujian kedua

46

23 JULAI: Sebanyak 10 peratus daripada 18,416 individu yang tamat menjalani kuarantin di rumah didapati tidak menjalani saringan COVID-19 kedua yang sepatutnya dilakukan pada hari ke-13 kuarantin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini bilangan pengembara yang pulang dari luar negara iaitu Person Under Surveillance yang dikehendaki menjalani kuarantin di rumah (HSO) adalah seramai 31,674 orang.

Katanya, bagaimanapun data aplikasi MySejahtera dari 7 Julai hingga Isnin lalu menunjukkan 24.8 peratus daripada individu yang diletakkan di bawah HSO itu tidak menggunakan fungsi Home Assessment Tool.

“Fungsi Home Assessment Tool ini merupakan satu ciri bagi individu menjalani penilaian kendiri yang perlu dilakukan setiap hari selama tempoh kuarantin di rumah iaitu selama 14 hari,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Noor Hisham dalam sidang akhbar itu turut membangkitkan soal tular di media sosial gambar beberapa individu yang telah diletakkan di bawah Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah namun didapati telah berada di tempat awam.

Tambah beliau, bukan sahaja itu, kepatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) lain juga semakin berkurang ketika mana lebih ramai masyarakat makan di restoran, membeli-belah di pasar raya dan kembali bekerja di pejabat-pejabat.

Kata beliau, salah satunya jumlah daftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera di premis-premis seperti kedai makan, pasar raya dan sebagainya didapati menunjukkan tren penurunan sedangkan jumlah pengguna berdaftar dengan aplikasi itu meningkat dalam tempoh tiga minggu lepas.

“Pemilik premis-premis dan masyarakat umum diingatkan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan agar kita dapat sama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di dalam masyarakat.

“Seperti yang sering disebutkan, masyarakat kini perlu memainkan peranan sosial yang lebih utama dalam memerangi pandemik COVID-19. Patuhilah SOP yang disediakan.

“Rakyat juga digalak untuk terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan tindakan yang didapati melanggar SOP kepada pihak penguatkuasa misalnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan sewajarnya,” ujarnya. -Oleh M.H HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.