ECRL perlu kembali ke jajaran asal

78

Oleh: DATUK SERI MOHD SHARKAR SHAMSUDIN

SAYA masih ingat titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mana sewaktu itu baginda adalah Pemangku Raja Pahang dan bertitah bahawa Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) adalah projek untuk rakyat, keretapi rakyat.

Projek yang merupakan inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini sepanjang 688 kilometer itu adalah selari dengan hasrat kerajaan pada waktu tersebut bagi menyediakan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia dan meningkatkan taraf pengangkutan awam di luar bandar.

Matlamat ECRL ialah untuk memendekkan masa perjalanan dari Gombak di ibu kota ke Kota Bharu kepada masa kurang dari empat jam berbanding purata tujuh jam melalui jalan raya biasa.

MOHD SHARKAR SHAMSUDIN

Oleh itu, jajaran ECRL asal merentasi Banjaran Titiwangsa melalui Bentong ke Gombak.

Namun begitu, selepas bertukarnya kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) telah mengubah laluan baru yang mana tidak akan melalui Bentong dan Gombak.

Saya melihat keputusan berkenaan lebih kepada faktor politik bukan atas faktor geologi dan alam sekitar seperti dicanang oleh mereka (PH).

Kenapa ECRL perlu ikut Bentong?

Kajian berhubung perkara ini telah dibuat secara teliti oleh kerajaan BN sebelum ini. Antara matlamatnya untuk membenarkan mereka yang ingin duduk di Bentong atau Mentakab tetapi bekerja di Kuala Lumpur dengan menaiki ECRL sahaja berulang alik pada setiap hari.

Jangka masanya pastinya jauh lebih singkat berbanding dengan menaiki kereta dari Bentong ataupun Mentakab ke Kuala Lumpur.

Sekarang, ECRL tidak akan sampai ke ibu kota lagi kerana jajaran telah ditukar, stesen ECRL terdekat ke Kuala Lumpur ada di Bangi dan Putrajaya.

Ini bermakna penduduk Kuala Lumpur perlu menghala ke selatan sebelum menaiki keretapi ECRL di Bangi atau Putrajaya untuk ke utara, begitu juga penduduk dari Pahang dan Pantai Timur yang ingin ke Kuala Lumpur, perlu ke Putrajaya.

Selain untuk kemudahan rakyat, aspek pelancongan juga perlu diberikan perhatian. Pantai Timur khususnya Pahang menawarkan banyak produk pelancongan menarik terutama keindahan pantai, keunikan budaya dan hasil kraftangannya.

Projek ECRL yang berfungsi memendekkan perjalanan dari ibu negara akan menyemarakkan lagi kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Pahang dan Pantai Timur.

Tetapi seperti dinyatakan tadi, pelancong yang ingin ke Pahang serta negeri lain di Pantai Timur perlu ke Putrajaya terlebih dahulu jika mahu menggunakan perkhidmatan ECRL? Adakah ini merupakan langkah bijak bagi merancakkan lagi industri pelancongan khususnya di negeri di Pantai Timur?

Atas faktor itulah maka jajaran asal ECRL perlu dikembalikan kerana pelaksanaan projek infra-rakyat itu bukan untuk membebankan rakyat.

Penulis ialah Ahli Majlis Teringgi UMNO.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.