Daftar kewarganegaraan lancar jika dokumen lengkap

146

23 JULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) untuk mempercepatkan proses permohonan kewarganegaraan mulai Januari lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, pada masa sama rakyat diingatkan supaya mengikut prosedur perkahwinan yang sah bagi mempermudahkan proses pendaftaran kelahiran anak mereka apabila dilahirkan kelak.

Berikutan itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen BN Kuala Krau berkata, setiap ibu bapa yang ingin memohon sijil kewarganegaraan untuk anak mereka juga perlu memiliki dokumen sah bagi memastikan ketenteraman dan kemakmuran negara.

ISMAIL MOHAMED SAID

“Jangan kahwin jika ia tidak didaftarkan secara sah kerana ia akan menyukarkan proses pendaftaran kelahiran anak mereka kelak. Jika mereka mempunyai semua dokumen yang sah maka proses permohonan pendaftaran kelahiran dan kewarganegaraan akan menjadi lebih mudah dan cepat.

“Saya juga bersetuju dengan pandangan Bintulu (Ahli Parlimen GPS Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing) untuk turun padang bersama beliau bagi memberikan penerangan kepada penduduk di luar bandar terutama di Parlimen Bintulu bagi memberi penerangan kepada masyarakat mengenai proses pendaftaran kelahiran dan kewarganegaraan,” katanya dalam sesi jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan King Sing yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan peratusan kelulusan bagi permohonan daripada kawasan Bintulu untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Dalam Keadaan Khas, 15 (2) dan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.

Ismail menambah, prosedur yang perlu dipatuhi itu adalah bagi memastikan ketenteraman dan kemakmuran negara.

“Kalau ada permohonan yang lengkap kita akan siasat, proses dan insya-Allah kita akan memberikan sijil kewarganegaraan kepada kanak-kanak ini.

“Memang menjadi harapan dan hasrat Kementerian Dalam Negeri, mana-mana anak yang lahir di dalam negara kita atau warga negara kita mempunyai tugas di luar negara tetapi mempunyai masalah untuk mendaftarkan anak untuk menjadi warga negara Malaysia.

“Memang kita boleh daftarkan di kedutaan dalam tempoh satu tahun selepas kelahiran anak itu. Kalau dia balik ke Malaysia, dia gagal lagi untuk mendaftar kelahiran anak, boleh berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk kita daftarkan anak mereka ini dan mereka ini (akan) mempunyai kewarganegaraaan yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen PH Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang bertanya kaedah penyelesaian kira-kira 250,000 individu tanpa dokumen di Malaysia, yang mungkin sukar dikesan jika mereka terbabit dengan jenayah kerana tiada sebarang rekod dan dokumen pengenalan diri. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.