China bidas AS arahan tutup konsulat

46

23 JULAI: China mendakwa Amerika Syarikat (AS) melanggar undang-undang antarabangsa apabila mengarahkan penutupan konsulat republik itu secara tiba-tiba di Houston, Texas.

“Provokasi politik,” serta “tindakan keterlaluan dan tidak adil yang boleh mensabotaj hubungan kedua-dua negara,” kata kenyataan Kedutaan China di AS.

Menurut kenyataan itu, Kerajaan AS tiba-tiba menuntut Konsulat China di Houston menghentikan semua operasi dan dalam waktu yang singkat.

“Ini adalah provokasi politik dibuat secara sepihak oleh AS, melanggar undang-undang antarabangsa, norma asas hubungan antarabangsa dan perjanjian dua hala konsular antara China dan AS.

“China mengutuk sekeras-kerasnya dan menentang tindakan yang keterlaluan dan tidak adil untuk mensabotaj hubungan China-AS,” kata kedutaan itu, sambil menambah China komited dengan prinsip tidak campur tangan urusan dalaman negara lain.

AS mengarahkan China menutup konsulatnya di Houston bagi melindungi harta intelek dan maklumat sulit negara itu.

Selama bertahun-tahun, misi diplomatik China di AS termasuk Konsulat di Houston, sudah menjalankan tugas selaras dengan Konvensyen Vienna dan komited mempromosikan pertukaran China-AS dan bekerjasama untuk mengukuhkan persefahaman dan jalinan persahabatan.

“Tuduhan AS adalah penipuan tidak berasas sama sekali, dan alasan yang digunakan langsung tidak masuk akal dan tidak dapat diterima.

“Jika bagi pihak AS ia sebagai usaha untuk menyerang China, itu tidak boleh dijadikan alasan,” kata kenyataan itu.

Pejabat Konsulat China di Houston dibuka pada 1979, iaitu tahun pertama jalinan hubungan diplomatik China-AS, menurut laman sesawangnya.

China memiliki lima pejabat konsulat di AS, termasuk Pejabat Kedutaan China di Washington.

Pejabat berkenaan meliputi lapan negeri di selatan AS, termasuk Texas dan Florida dengan hampir sejuta juta orang berdaftar di bawah konsulat berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.