Tuntutan LHDN, kebenaran akan terbukti masa rayuan – Najib

395

22 JULAI: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kebenaran akan terbukti apabila rayuan ke atas kes tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atasnya dibuat kepada Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan nanti.

Bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada keputusan mahkamah hari ini menerusi penghakiman terus berhubung bayaran cukai RM1.69 bilion ke atas wang sumbangan kerajaan Arab Saudi seperti dituntut LHDN yang dimulakan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Dakwa Ahli Parlimen Pekan itu, penjelasan hakim tentang keputusannya hari ini dalam kes berkenaan jelas membuktikan penyalahgunaan kuasa PH semasa mereka menjadi kerajaan untuk menganiaya beliau menerusi tindakan tuntutan cukai itu.

“Hakim kata dasar “pay first, talk later” (bayar dulu, bincang kemudian) undang-undang LHDN tanpa mengira jika cukai itu patut, tersalah kira atau langsung tak betul adalah kejam tetapi ini adalah Akta Cukai dan mahkamah tiada kuasa untuk pertikaikan, ubah atau hentikan tuntutan LHDN.

“Bagaimanapun, hakim kata rayuan saya perlu didengar di Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan – bukan dalam mahkamah.

“Hakim kata Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan adalah jalan seterusnya bagi saya untuk mansuhkan tuntutan tidak berasas kerajaan PH dahulu,” katanya menerusi akaun Facebook beliau hari ini.

Sebenarnya kata Najib, beliau bukan diarahkan hakim untuk membayar cukai tetapi hakim memberi penghakiman terus atau summary judgement kepada LHDN untuk teruskan tuntutan mereka terhadap saya.

Katanya, penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh, iaitu antaranya tanpa mendengar keterangan saksi.

“LHDN adalah di bawah Kementerian Kewangan. Pada masa tuntutan cukai ke atas saya dan keluarga saya dikenakan juga merupakan masa Tony Pua dan Lim Guan Eng bermaharajalela dan banyak menyalah gunakan kuasa (saman saya jika berani) untuk mengenakan saya dan orang BN,” dakwanya.

Menurut Najib, di bawah undang-undang cukai Malaysia, Seksyen 106 jelas menunjukkan bahawa LHDN ada kuasa untuk mengenakan sebarang cukai tambahan dan penalti ke atas mana-mana orang.

Kata beliau, dan Seksyen 106 (3) juga mengatakan bahawa mahkamah tiada kuasa untuk mengurangkan atau membatalkan tuntutan cukai LHDN biarpun tuntutan cukai itu disalah kira, tak adil atau tak patut.

“Akta Cukai Pendapatan 1967: “Section 106 (3): In any proceedings under this section the court shall not entertain any plea that the amount of tax sought to be recovered is excessive, incorrectly assessed, under appeal or incorrectly increased.”

“Ini bermaksud, jika LHDN tuntut cukai RM3.76 Trilion pun, mahkamah perlu arahkan dfendan bayar RM3.76 Trilion. Di bawah undang-undang yang saya sebut tadi, mahkamah tak ada kuasa untuk pertikaikan tuntutan cukai LHDN.

“Bayar dulu. Lepas bayar, baru boleh membuat rayuan di panel rayuan LHDN untuk mendapat kembali bayaran yang tak patut,” katanya.

Sebab itu tambah Najib, kerajaan PH dahulu boleh kenakan tuntutan dan penalti cukai sebanyak RM1.7 bilion ke atas beliau untuk wang yang disebut RM2.6 bilion walaupun ianya jelas wang tersebut telah dikembalikan kepada penghantar empat bulan selepas ia diterima.

“Manakala RM632 juta adalah terus dari Kementerian Kewangan Arab Saudi yang merupakan dana sumbangan asing yang tidak patut dikenakan cukai.

“Tapi apalah nasib kita jika kuasa di bawah undang-undang cukai negara telah disalah guna oleh Guan Eng dan gengnya untuk mengenakan kita supaya mereka boleh memainkan propaganda untuk menipu mereka yang kurang faham akta dan proses tuntutan cukai?

“Kebenaran akan dibuktikan akhirnya apabila kita menghadap panel rayuan Pejabat Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan nanti,” tegasnya.

Memetik laporan Bernama, bekas Perdana Menteri itu perlu membayar RM1.69 bilion kepada LHDN sebagai cukai yang tidak dibayar setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penghakiman terus LHDN dikenakan terhadap Najib.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Menurut mahkamah, apabila notis taksiran cukai LHDN yang memerlukan pembayaran dibuat kepada lembaga itu dikeluarkan terhadap pembayar cukai, mereka perlu membayar jumlah yang dituntut, termasuk bekas perdana menteri.

Dengan memetik satu penghakiman Mahkamah Persekutuan, hakim itu berkata peruntukan yang ditekankan oleh Mahkamah Persekutuan “bayar dahulu, bincang kemudian” walaupun keras, namun ia adalah peruntukan yang memang sengaja ditetapkan oleh perundangan, disebabkan banyak insiden mengelak bayar cukai dalam negara.

Bagaimanapun Najib masih boleh merayu jumlah itu kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN, menyaman Ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Oleh –M.HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.