Portal SPRM papar maklumat harta menteri, timbalan menteri

144

22 JULAI: Orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat perisytiharan harta anggota Kabinet dan timbalan-timbalan menteri di laman khas mydeclaration.sprm.gov.my.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 57 daripada 70 anggota pentadbiran kerajaan sudah memaparkan maklumat harta di portal tersebut.

Mereka terdiri daripada Perdana Menteri, Menteri Kanan, menteri dan timbalan menteri.

“SPRM tidak akan bertanggungjawab terhadap maklumat perisytiharan harta yang diperolehi atau diambil dari mana-mana sumber, selain daripada portal berkenaan,” kata suruhanjaya itu hari ini.

Menerusi laman web itu, terdapat empat anggota Kabinet yang mengisytiharkan aset melebihi RM10 juta iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Timbalan Menteri yang mempunyai aset dalam jumlah sama ialah Datuk Hajah Hanifah Hajar Taib, Datuk Kamarudin Jaafar, Senator Datuk Lim Ban Hong, Ahmad Amzad Mohamed, Datuk Dr Jeffrey Ketingan dan Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Bagi jumlah aset terendah, iaitu kurang RM1 juta ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Menteri yang mempunyai aset kurang RM1 juta ialah Arthur Joseph Kurup, Awang Hashim, Jonathan Yassin, Mohd Shahar Abdullah dan Datuk Henry Sum Agong.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.