Polis ada sasaran, petunjuk suspek conteng mural

143

22 JULAI: “Polis sudah ada beberapa target (sasaran) dan petunjuk,” kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berhubung suspek kes menconteng mural potret pemimpin negara di Seksyen U12, Shah Alam.

Malah tegas Arjunaidi, individu-individu berkenaan berkemungkinan ditahan polis dalam masa terdekat.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya kini masih di peringkat siasatan untuk mengenal pasti individu yang terbabit.

“Ada (perkembangan kes conteng mural). Tapi kita sedang membuat siasatan susulan.

“Kita ada beberapa target (sasaran) dan petunjuk. Ada kemungkinan individu berkenaan akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya ditemui di Bangunan SUK Selangor di Shah Alam hari ini.

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial pada tengah hari Isnin yang memaparkan dua kelibat wanita dipercayai terlibat merosakkan mural berkenaan.

Susulan vandalisme itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memadam semua mural dengan mengecat semula dinding itu.

Insiden berkenaan mengundang kemarahan rakyat negara ini yang bukan sahaja mengecam pelaku terbabit bahkan menyifatkan ia perbuatan biadab.

Ini apabila kata-kata kesat itu bukan sahaja diconteng pada potret pemimpin tertinggi negara, bahkan turut berlaku pada potret Yang di-Pertuan Agong.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.