PM mahu MBM bekerja rapat bantu ekonomi belia

57

22 JULAI: Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Majlis Belia Malaysia (MBM) dapat bekerja rapat dengan kerajaan untuk membantu generasi muda yang terkesan dari sudut ekonomi.

Menurut Perdana Menteri, golongan tersebut termasuk dalam senarai pihak yang diberikan tumpuan khusus dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini.

“Tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk menggerakkan semula ekonomi pasca COVID-19.

“MBM selaku organisasi yang menaungi golongan belia boleh memainkan peranan dalam aspek ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Dalam hantaran itu, Perdana Menteri memaklumkan beliau bertemu dengan 13 kepimpinan tertinggi MBM yang diketuai oleh Presidennya, Jufitri Joha hari ini.

Kata Muhyiddin, dalam pertemuan tersebut MBM dan beliau membincangkan peranan yang boleh dimainkan golongan belia dalam pembangunan negara.

“Dalam usaha memajukan golongan belia, MBM juga membangkitkan mengenai keperluan menambah bilangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Sabah dan Sarawak.

“Saya mengambil maklum bahawa ketika ini hanya terdapat sebuah IKBN di kedua-dua negeri itu. Perkara ini akan diberi perhatian untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – Oleh M.H HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.