Laporan: Wanita bergelang tangan kuarantin kini di hospital

91

21 JULAI: Seorang wanita yang tular apabila gambarnya berkunjung ke sebuah kedai makan ketika sepatutnya menjalani kuarantin di rumah, kini dilaporkan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Wanita warga emas itu dikatakan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Julai lalu dan sepatutnya menjalani kuarantin selama 14 hari.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, Sinar Harian melaporkan, keputusan saringan pertama menunjukkan wanita berkenaan negatif tetapi tetap dipakaikan gelang merah jambu sebagai tanda perlu menjalani kuarantin di rumah.

“Kejadian (makan di restoran) itu pula berlaku di sebuah kafe pada 6 Julai lalu bersama keluarganya setelah tiba dari Selangor untuk sarapan sebelum menjalani kuarantin di rumahnya, manakala gambar itu baru sahaja tular kelmarin,” katanya.

Sumber itu memberitahu Sinar Harian, wanita berkenaan dimasukkan ke hospital sejak 17 Julai lalu apabila saringan kedua – yang dibuat selepas 13 hari – menunjukkan dia positif Covid-19.

Kata sumber itu, turut dirawat ialah anak lelaki wanita berkenaan.

Sementara itu, polis mengesan seorang lelaki yang tular gambarnya sedang berada di sebuah restoran yang dipercayai turut melanggar perintah kuarantin di rumah.

Ketua Polis Daerah Brickfields Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, setakat ini belum ada laporan polis dibuat berkenaan perkara itu tetapi usaha mengesan telah dimulakan.

“Polis Bricfields amat mengalakkan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membolehkan tindakan diambil serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.