Kumpulan kedua Tabligh dari India tiba di KLIA

88

22 JULAI: Kumpulan kedua jemaah Tabligh yang terkandas di India sejak Mac lalu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kesemua mereka terus dibawa ke pusat kuarantin khas di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Bangi.

Katanya, pihak berkuasa telah menetapkan kesemua mereka perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di pusat pengawasan.

“Alhamdulillah, kumpulan kedua Jemaah Tabligh rakyat Malaysia seramai 40 orang yang terkandas di India telah selamat pulang ke tanah air. Mereka terus dibawa ke pusat kuarantin khas yang telah ditetapkan untuk jalani kuarantin wajib 14 hari.

“Selamat pulang semua!,” katanya menerusia ciapan di Twitter milik beliau malam ini.

Sabtu lalu, media melaporkan 62 jemaah tabligh dibawa pulang dalam misi kemanusiaan menggunakan penerbangan sewaan khas Malindo Air yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Mereka adalah antara 96 rakyat Malaysia, termasuk kakitangan Kedutaan Malaysia serta rakyat Malaysia yang terkandas sejak lapangan terbang di India ditutup, manakala baki 11 orang adalah kru Malindo Air.

Hishammuddin minggu lalu telah memaklumkan terdapat 189 jemaah tabligh Malaysia masih terkandas di Indiaberikutan penularan COVID-19 dan mereka adalah antara 191 rakyat Malaysia yang dikategorikan sebagai kritikal.

Menjelaskannya, beliau memberitahu, daripada jumlah itu, 157 jemaah berada di New Delhi, Chennai (23 jemaah) dan sembilan di Mumbai.

“Ada antara mereka yang telah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman, sementara ada juga yang didakwa namun masih menunggu proses kehakiman,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberi tahu, Wisma Putra dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di India akan terus menyelaraskan usaha membawa pulang secara berperingkat baki jemaah Tabligh yang masih berada di India.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.