Kes terus bertambah, dua lagi kluster dilaporkan

70

22 JULAI: Pada 9 Julai iaitu kira-kira dua minggu lalu, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 mencatatkan angka terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dengan hanya 63 kes.

Namun, apabila hari demi hari kes jangkitan baharu kembali kepada dua digit dan kes discaj pula kekal pada satu angka, jumlah kes aktif yang kini dirawat di hospital di seluruh negara bertambah kepada 142 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hari ini juga menyaksikan dua angka kes baharu COVID-19 apabila sebanyak 16 kes dilaporkan dengan lapan daripadanya jangkitan tempatan.

Katanya, tujuh kes jangkitan dalam negara dilaporkan di Sarawak dengan kesemuanya melibatkan warganegara dan seorang lagi di Selangor melibatkan warga asing yang dikesan positif setelah melakukan saringan untuk perjalanan ke luar negara.

Tambah beliau, dua lagi kluster baru dilaporkan setakat tengah hari ini iaitu kluster PUI Melbourne dan Kluster Hyde Park.

“Lapan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

“Lapan kes import tersebut adalah dari negara India (2 kes); Rusia (2 kes); Arab Saudi (1 kes); China (1 kes); Indonesia (1 kes) dan Korea (1 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini dengan empat pesakit telah dibenarkan discaj yang menjadikan kes aktif COVID-19 berjumlah 142 kes.

Katanya, mengenai kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, satu daripadanya adalah kluster Hyde Park yang dikesan di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, Selangor.

“Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8769) merupakan seorang krew kapal bukan warganegara (iaitu dari negara Rusia). Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Mesir dan India.

“Kluster ini telah dikenal pasti susulan saringan COVID-19 yang telah dijalani oleh krew kapal tersebut sebelum pulang ke negara asal. Sehingga 22 Julai 2020 jam 12 tengah hari, keseluruhannya 24 orang telah disaring dan empat kes positif.

“Semua kes positif dalam kluster ini melibatkan bukan warganegara. Mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala kesemua kontak rapat yang negatif pula dikuarantin di kapal tersebut. Justeru, kluster ini tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti,” ujarnya.

Bagi Kluster PUI Melbourne pula katanya, kes indeks kluster ini merupakan seorang pelajar warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8749) yang telah pulang dari Australia ke Kuching pada 15 Julai 2020.

Katanya, individu berkenaan telah menaiki dua pesawat, iaitu dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dari Kuala Lumpur ke Kuching dan susulan itu, pengesanan kes secara aktif telah dijalankan dengan satu lagi kes positif telah dikesan dalam kluster ini.

“Kes kedua ini telah menaiki pesawat yang sama dengan kes indeks iaitu pesawat yang telah bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuching.

“Sehingga 22 Julai 2020 jam 12 tengah hari, terdapat dua (2) kes positif COVID-19 dalam kluster ini. Seramai 21 orang kontak rapat yang terdiri daripada penumpang dari pesawat dan kenderaan awam yang berkaitan telah disaring dan masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih di dalam siasatan,” jelasnya.

Noor Hisham sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia untuk kekal waspada dan mengamalkan nasihat kesihatan bagi mencegah penularan wabak tersebut. -M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.