Keputusan larang Ramkarpal main audio muktamad

148

22 JULAI: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, mempertahankan tindakan timbalannya, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang tidak membenarkan Ahli Parlimen PH Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, memainkan rakaman audio sebagai sebahagian daripada ucapannya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, semalam.

Beliau menyatakan telah melihat prosiding yang dikendalikan oleh Azalina secara langsung semalam dan mendapati timbalannya itu membuat keputusan muktamad.

“Jadi saya tidak boleh membuat ‘revisit’ terhadap keputusan dibuat oleh Datuk Seri Azalina selaku pengerusi sidang Dewan Rakyat semalam. Malah, mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat saya tidak boleh membuat keputusan ke atas ‘rulling’ (keputusan) yang sudah dibuat adalah muktamad.

“Kalau ingin dibahaskan maka satu usul substantif terpaksa dikemukakan. Jadi tidak enak jika YB membangkitkan perkara itu kerana ia sudah dimuktamad oleh Timbalan Yang di-Pertua.

“Kalau kita lihat dalam peraturan mesyuarat ada menyebut bahawa perkara-perkara dalam surat khabar, majalah dibangkitkan semula di Dewan Rakyat untuk mengetahui kebenaran tersebut,” katanya.

Azhar menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer, mengenai tindakan Azalina tersebut selepas sesi soal jawab lisan berakhir.

Beliau berpandangan, Azalina berbuat demikian kerana merasakan rakaman berkenaan bukanlah audio asal sekali gus tidak menepati kriteria sebagai bukti terbaik.

“Saya rasa apa yang hendak dibangkitkan di Parlimen mestilah menepati undang-undang keterangan sesuai sebelum ia dimainkan dalam dewan kerana kita kena bangkitkan fakta bukannya spekulasi. Saya rasa itulah yang dipertimbangkan oleh Timbalan Yang Dipetua (Azalina) ketika membuat keputusan terbabit,” katanya.

Semalam, Azalina terpaksa bertegas mengarahkan Ramkarpal menghentikan tindakannya untuk memainkan rakaman audio berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen BN Pengerang meminta Ramkarpal menyatakan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mana yang membolehkan perkara itu dilakukan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.