India pengimport terbesar minyak sawit Malaysia

203

22 JULAI: India merupakan pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan sawit negara pada 2019 dengan kuantiti sebanyak 4.46 juta tan dengan nilai sebanyak RM9.78 bilion.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, maklumat itu berdasarkan data dan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

Sehubungan itu, kata beliau, antara langkah yang sedang diambil bagi meningkatkan pasaran eksport minyak sawit negara adalah memperkukuhkan pasaran eksport utama sedia ada terutamanya India, China, Kesatuan Eropah (EU), Pakistan, dan Amerika Syarikat (AS).

“Malaysia turut mempromosi produk-produk sawit dengan lebih agresif bagi menembusi pasaran-pasaran baharu seperti di benua Afrika dan Asia Tengah,” katanya dalam sesi soal jawab liasan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Khairuddin menjawab soalan Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias tentang negara pengimport terbesar minyak sawit dan produk sawit negara pada 2019 dan langkah yang diambil oleh kementerian untuk memperluaskan eksport minyak sawit negara.

Beliau menambah, langkah-langkah lain termasuk meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam penghasilan produk-produk baharu serta memberi nilai tambah kepada produk hiliran komoditi.

Selain itu, jelasnya, akses pasaran yang lebih baik dilakukan melalui perundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala dan perundingan pelbagai hala atau serantau.

“Pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang telah dijadikan mandatori bermula 1 Januari 2020 sebagai langkah menjenamakan minyak sawit Malaysia yang mampan dan berkualiti.

“Pensijilan MSPO dijangka akan membuka akses pasaran yang lebih luas untuk pasaran minyak sawit mampan di negara-negara pengimport,” ujarnya.

Mohd Khairuddin memberitahu, pada masa ini, pensijilan MSPO telah diterima oleh Jepun bagi penganjuran Sukan Olimpik 2020.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan turut memberi pengecualian duti eksport duti eksport minyak sawit mentah (CPO), minyak isi rong sawit mentah (CPKO) dan minyak isi rong sawit diproses (RBDPKO) sehingga 31 Disember ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.