ILKAP lokasi kuarantin wajib jemaah tabligh

125

22 JULAI: Sekumpulan 40 rakyat Malaysia yang merupakan jemaah tabligh yang terkandas di India akan menjalani kuarantin wajib selama dua minggu di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi apabila mereka pulang ke tanah air hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang sebelum ini tidak berjaya pulang ke Malaysia pada 17 Julai lalu kembali melalui penerbangan komersial Air India Express.

“Pusat pemantauan ini akan diselia oleh petugas-petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan dan juga dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Oleh itu, lawatan pihak luar termasuk ahli keluarga adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh kuarantin wajib ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, seramai 389 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Indonesia, Vietnam, Qatar, China, Turki, India, Filipina, Nepal dan Jepun semalam.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberitahu, PDRM telah menahan 75 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Daripada jumlah itu, seramai tiga individu telah direman manakala 72 individu lagi dikenakan kompaun.

“Kesemua mereka terlibat dalam aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP),” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, PDRM telah menahan tiga warga asing atas kesalahan imigresen hasil pemeriksaan terhadap 31,985 kenderaan dalam 68 sekatan jalan raya Operasi Benteng semalam.

Ismail Sabri menjelaskan, pemeriksaan penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mendapati 49 tapak binaan mematuhi SOP yang ditetapkan dan enam tapak binaan tidak patuh SOP dan telah diberi nasihat manakala dua tapak binaan lagi tidak beroperasi.

Pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 1,478 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,462 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 16 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.