Tidak perlu PKPD di pusat jagaan warga emas di Kluang

81

21 JULAI: Tidak perlu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di pusat jagaan warga emas di Kluang susulan kluster baharu yang dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.

Ini kerana bilangan individu yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) di situ agak kecil dan langkah pengawalan sudah dilakukan oleh KKM, kata Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

“Berdasarkan kluster baharu itu rasanya tidak perlu PKPD kerana punca daripada kes yang menyebabkan jangkitan positif ini bukan daripada bilangan yang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kluster baharu di rumah jagaan warga emas di Kluang Johor hari ini.

Setakat ini, sebuah balai polis bergerak ditempatkan di hadapan pintu masuk pusat jagaan warga emas di Taman Megah berikutan penemuan kluster baharu itu.

Dua anggota polis turut mengawal pusat jagaan tersebut bagi memastikan semua perkara berkaitan prosedur operasi standard (SOP) urusan di pusat jagaan itu dipatuhi sepenuhnya.

Ini termasuk tiada pergerakan keluar masuk akan dibenarkan sepanjang tempoh kuarantin dijalankan atau sehingga keadaan pulih sepenuhnya di pusat berkenaan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan seramai 12 individu dari Kluster Rumah Warga Emas Kluang, Johor disahkan positif Covid-19.

Katanya, kluster ini dikesan apabila kes indeks dilaporkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Enchee’ Besar Hajjah Khalsom kelmarin.

Terdahulu pada 27 Mac lalu, dua kawasan di Kluang iaitu di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid Simpang Renggam menjadi lokasi pertama melaksanakan PKPD selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.