Ramai resah mereka yang tidak patuh kuarantin

92

20 JULAI: Peraturan sangat jelas, mereka yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah bukan sahaja dilarang berada dekat dengan anggota keluarga lain bahkan perlu berada di dalam bilik sepanjang tempoh 14 hari itu.

Justeru, ada sebab mengapa pengguna media sosial resah apabila gambar seorang wanita yang dipercayai melanggar tempoh perintah kuarantin di rumah, tular hari ini.

Foto wanita tersebut yang sedang makan di sebuah kafe di Ipoh, Perak jelas menunjukkan gelang tangan berwarna merah jambu di tangan kanannya.

Gelang itu menandakan beliau di bawah kuarantin COVID-19.

Sementara itu, di laman Twitter Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood turut terkilan dengan tindakan wanita tular itu yang dianggapnya boleh menyumbang kepada gelombang COVID-19 sekali lagi.

“Orang macam wanita inilah yang meningkatkan risiko negara kita menghadapi gelombang kedua,” katanya.

Pelbagai pihak sebelum ini meminta kerajaan menimbang kembali perintah kuarantin di rumah berikutan kelemahan aspek pengawasan berbanding jika dilakukan di pusat pengawasan ditetapkan kerajaan.

Susulan penularan rakaman itu, pemilik kafe berkenaan pula tampil membuat kenyataan di laman Facebook bagi menepis tohmahan bahawa premis tersebut gagal melakukan tapisan ke atas pelanggan.

“Jangan kata kami pihak peniaga tak ambil tindakan. Kami tak ada hak selak lengan baju orang ye! Kami ikut Prosedur Operasi Standard (SOP), ambil suhu ikut yang disarankan. Masa viral ni tentu semua peniaga terkejut,” tulisnya di laman Facebook.

Pemilik kafe yang menggunakan nama Facebook Nurul Chu Hada Karim berkata, perbuatan wanita itu turut menyebabkan orang di sekitar kawasan itu menjadi panik sekali gus menjejaskan peniaga lain di Meru Raya.

“Kak Nurul sendiri awal pagi dah hubungi Jabatan Kesihatan Negeri Perak. Dah bercakap sendiri isu ini. Kak Nurul disarankan bertenang. Katanya dua orang yang positif dah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Bukan yang viral,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Ding Lay Ming berkata jika didapati berasas, tindakan sewajarnya termasuk tindakan perundangan akan diambil terhadap wanita itu.

Individu yang menjalani kuarantin wajib memakai wristband bagi memudahkan pemantauan ke atas mereka agar kekal berada di dalam rumah sepanjang tempoh yang ditetapkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.