Perancis denda RM650 ingkar pakai pelitup muka

31

21 JULAI: Pemakaian pelitup muka di tempat awam tertutup seperti restoran dan kedai kini diwajibkan di seluruh Perancis dalam usaha kerajaan negara itu mengekang penularan gelombang kedua kes COVID-19.

Mereka yang ingkar dengan arahan itu akan dikenakan denda sebanyak 135 euro atau RM650.

Pemakaian pelitup muka diwajibkan kepada semua yang berusia lebih 10 tahun di hotel, restoran, kedai, pasar tertutup, muzium, pawagam, dewan konsert, rumah ibadat, lapangan terbang, perpustakaan, pusat percutian, bangunan pentadbiran dan bank.

Sebelum ini pemakaian penutup hidung dan mulut hanya diwajibkan dalam pengangkutan awam.

“Langkah ini berikutan terdapat tanda membimbangkan akan penularan kembali wabak di tempat tertentu di negeri ini,” kata Menteri Kesihatan, Olivier Veran kepada stesen radio tempatan hari ini.

Sejak penarikan perintah sekatan pada 11 Mei lalu, pihak berkuasa kesihatan mengesan antara 400 hingga 500 kluster aktif COVID-19 terutama berpunca daripada perjumpaan keluarga ketika musim musim panas, kata menteri berkenaan.

“Kami mendapati penularan virus secara dinamik yang membimbangkan dan wajar diambil berat warga Perancis. Mereka inilah kunci dalam memerangi virus.

“Kita perlu terus berwaspada, bersiap sedia kerana semua senario tidak hanya dikaji, tetapi perlu diselesaikan,” katanya.

Perancis antara negara di Eropah yang teruk terkesan akibat pandemik COVID-19 dengan 200,000 kes dilaporkan yang memaksa kerajaan negara itu melaksanakan perintah berkurung.

Sehingga Jumaat lalu, jumlah kematian akibat COVID-19 di Perancis seramai 30,152 orang dan membabitkan kira-kira 174,674 kes, meningkat sebanyak 836 jangkitan daripada tempoh 24 jam sebelumnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.