Tiada lagi kuarantin di rumah

94

21 JULAI: Warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara diwajibkan menjalani prosedur kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan mulai 24 Julai ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di stesen kuarantin sama ada di institut latihan awam (ILA) atau hotel berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Kesihatan akan mengenal pasti serta mewartakan ILA atau hotel yang bersesuaian sebagai stesen kuarantin.

“Warga asing yang ingin masuk ke Malaysia diwajibkan menjalani ujian swab COVID-19 di negara asal dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab individu-individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari luar negara.

Ismail Sabri memberitahu, sikap degil mereka ini mengundang risiko penularan tempatan.

Beliau menegaskan, kerajaan memandang serius insiden-insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin wajib di rumah yang telah menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.

“Tindakan mereka ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang tegas termasuk mengenakan kompaun RM1000 ataupun mendakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri menyatakan, pelancong kesihatan dari negara-negara kategori hijau iaitu Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand dibenarkan memasuki Malaysia menggunakan pesawat komersial bagi mendapatkan rawatan,

“Walau bagaimanapun, ia adalah tertakluk kepada perbincangan bersama antara Kementerian Luar dan negara terbabit mengenai kebenaran pergerakan rentas sempadan negara masing-masing,” jelasnya.

Tambah beliau, mereka yang terlibat perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di lapangan terbang, mereka akan terus dibawa ke hospital untuk rawatan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.