Kelab malam langgar larangan operasi boleh digantung lesen

66

21 JULAI: Kelab malam dan pusat hiburan yang masih berdegil beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) boleh dikenakan tindakan digantung lesen perniagaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti tersebut masih dalam senarai dilarang.

“Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas kelab-kelab malam dan pusat hiburan yang beroperasi semasa tempoh PKPP,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau menambah, seramai 37 daripada 80 individu yang ditahan polis semalam kerana terlibat dalam aktiviti kelab malam dan pusat hiburan manakala baki 43 individu terlibat dalam kegiatan yang menyukarkan penjarakan sosial.

Ismail Sabri memberitahu, seramai 20 individu telah direman dan empat lagi dijamin manakala 56 individu dikenakan kompaun.

Berhubung Operasi Benteng, beliau menyatakan, polis telah menahan 14 warga asing atas kesalahan imigresen dalam 65 sekatan jalan raya semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.