Kecoh Ramkarpal mahu main audio di Dewan Rakyat

338

21 JULAI: Tindakan Ahli Parlimen PH Tasik Gelugor, Ramkarpal Singh yang mahu memainkan rakaman audio ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong mencetuskan kekecohan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, terpaksa bertegas mengarahkan Tasik Gelugor menghentikan tindakannya untuk memainkan rakaman audio berkenaan.

Berikutan itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen BN Pengerang meminta Ramkarpal menyatakan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mana yang membolehkan beliau memainkan rakaman audio terbabit.

“Yang Berhormat (YB) sedang berbahas… di bawah perintah dan peraturan mana membolehkan YB memainkan rakaman audio berkenaan.

“Boleh tak yang berhormat tunjukkan saya di bawah peraturan mana membolehkan YB berbuat demikian? Saya tidak pernah dengar perkara ini berlaku sebelum ini,” katanya.

Ramkarpal cuba mempertahankan tindakan mahu memainkan audio berkenaan sebagai sebahagian daripada teks ucapan perbahasannya kerana dikatakan adalah bukti penting bagi membuktikan dakwaannya terhadap pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, tindakan Ramkarpal berkenaan menimbulkan perdebatan dengan Azalina yang menyatakan beliau tiada masa untuk melayan permintaan Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkenaan.

Azalina berkata, beliau tiada pengetahuan mengenai kaedah memainkan rakaman audio berkenaan pernah diguna pakai dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini.

Beliau menolak permintaan Ramkarpal kerana tidak memaklumkan kepadanya lebih awal untuk berbuat demikian.

“Saya agak terperanjat dan ini bukannya mahkamah tetapi Dewan Rakyat untuk perbahasan usul. Jadi tidak timbul soal ‘hear say’.

“Adakah niat sebenar YB adalah untuk membuktikan adanya rakaman audio berkenaan.. Ini debat bukan ‘hear say’,” katanya.

Malah, tindakan Ramkarpal berkenaan juga turut menyebabkan Ahli Parlimen BN Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, bangun mengemukan bantahan dengan menyatakan bahawa perbuatan Tasik Gelugor berkenaan bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.