Di Parlimen pun Dr. Mahathir tetap petik nama Najib

4,310

21 JULAI: Bukan sahaja di pentas ceramah mahu pun di media sosial, malah di Dewan Rakyat pun nama Datuk Seri Najib Tun Razak terus meniti di bibir Ahli Parlimen Bebas-Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketika terlibat dalam perbahasan usul menjunjung ucapan kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong petang ini, Dr. Mahathir memperuntukkan beberapa minit dalam keseluruhan ucapannya untuk ‘membahan’ Najib.

Tuduhan lazim Dr. Mahathir bagaimanapun agak klise dengan mengulangi balik apa disebutnya seperti kleptokrasi, Najib akan diselamatkan dalam perbicaraan yang sedang berlangsung, selain Najib itu dan Najib ini.

Dr. Mahathir dalam perbahasan itu juga sekali lagi menolak dakwaan tumbangnya kerajaan PH kerana kesalahannya meletak jawatan Perdana Menteri Ketujuh seperti dibangkitkan beberapa penyokong kerajaan.

Beliau juga mengulangi alasannya yang peletakan jawatan itu hanya formaliti seperti mana ditulis beliau dalam Facebook beberapa hari lalu.

Sekali lagi, Dr. Mahathir gagal menyertakan rujukan Perlembagaan Persekutuan di sebalik dakwaanya kerajaan PH gugur sebaik Bersatu keluar dari gabungan itu.

Bekas Perdana Menteri itu juga pada masa sama terus menyalahkan parti lamanya yang asalnya ditubuh untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Najib tetapi kini bekerjasama dengan UMNO dan Pas, hanya kerana takutkan DAP.

Sedangkan katanya, dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan Dr. Mahathir mendakwa kebimbangan orang Melayu kepada DAP itu antaranya dicetuskan oleh Najib.

“DAP tidak akan mampu menghancurkan orang Melayu,” katanya menolak kerisauan orang Melayu sambil mempertahankan DAP.

Bagaimanapun sedang asyik beliau menyentuh bab Najib, Ahli Parlimen Pas-Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman bangun mencelah membangkitkan peraturan mesyuarat 36 (5) mengenai peraturan tidak boleh merujuk nama seorang ahli di Dewan.

Dari segi amalan di Parlimen, Najib harus dirujuk sebagai Yang Berhormat Pekan mengikut kawasan Parlimennya dan bukan nama beliau.

Selepas ditegur, Dr. Mahathir yang menginjak usia 95 tahun bulan ini meneruskan ucapan mengenai polarisasi kaum tetapi sebelum berganjak topik, Ahli Parlimen Langkawi itu dengan sinikal seperti mana lazimnya berkata:

“Yang Dipertua, ini bukan pasal individu di tepi tepi jalan.

“Kalau tak kerana bekas Perdana Menteri ini, kita tak ada masalah sebegini besar. Sebab itu saya berhak menunjuk orang terlibat,” jelasnya merujuk kepada Najib.

Selain itu, jelas sekali Dr. Mahathir membangkitkan perihal perbicaraan Najib yang masih berlangsung sedangkan semua ahli Parlimen diingatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk elakkan perkara yang dalam urusan mahkamah.

Berbeza berbanding ketika perbahasan usul pengosongan jawatan Speaker, ucapan perbahasan Dr. Mahathir kali ini tidak banyak yang bangun mencelah atau diganggu.

Penyokong kerajaan, Ahli Parlimen BN-Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin antara yang berpeluang mencelah di awal ucapan Dr. Mahathir ketika bekas Perdana Menteri itu menyentuh mengenai pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terus dibidasnya.

Bagaimanapun, apabila Bung Moktar membangkitkan kerajaan negeri Sabah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini dibentuk kerana wakil rakyat UPKO lompat menyokong Mohd Shafie selepas PRU-14, Dr. Mahathir seakan mengelak secara langsung.

Beliau sebaliknya berkata, isu lompat parti memang banyak kedengaran berlaku di Sabah tetapi yang di peringkat Persekutuan inilah kali pertama –Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.