Denda RM1,000 tak pakai pelitup muka diteliti

83

21 JULAI: Pemakaian pelitup muka di tempat awam jika dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) bermakna denda RM1,000 atau penjara mungkin menanti mereka yang ingkar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu bagaimanapun masih diperincikan namun yang lebih penting, orang ramai tidak perlu menunggu sehingga dikuatkuasakan untuk memakai pelitup muka.

Menurut beliau, kajian menunjukkan pelitup muka mampu mengurangkan 65 peratus risiko jangkitan COVID-19 manakala penjarakan sosial pula memutuskan 75 peratus risiko.

“Kita sangat-sangat menggalakkan pakai kerana dengan dua kaedah ini dapat mencegah daripada dijangkiti COVID-19. Masa naik pengangkutan seperti bas dan kapal terbang yang mana keadaan itu tak boleh lakukan penjarakan sosial, maka ini memang kemestian.

“Kita belum wajib tapi kalau wajib kita akan pertimbang denda atau boleh dipenjara menerusi Akta 342. Ini kita masih lihat perinciannya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Semalam, kerajaan memaklumkan akan mempertimbangkan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam susulan peningkatan kes baru COVID-19 kebelakangan ini.

Sementara itu, beliau mengingatkan supaya pemakaian pelitup muka dilakukan dengan betul dan tidak sesekali meletakkan di dagu atau sebagainya bagi mengelakkan masalah lain.

Katanya, pada masa sama KKM amat bimbang orang ramai mulai tidak memberi perhatian kepada kepentingan melindungi warga emas daripada jangkitan COVID-19 sedangkan langkah pencegahan jangkitan termasuk penjarakan sosial sangat perlu apabila berada di kalangan golongan ini.

“Bagi ahli keluarga atau penjaga yang duduk serumah bersama warga emas, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan golongan warga emas sentiasa terjaga dan dilindungi daripada jangkitan COVID-19.

“Begitu juga setiap individu perlu memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab terhadap keluarga, komuniti dan negara demi menjaga keselamatan dan kesihatan golongan warga emas,” jelasnya.

Sementara itu, kata Noor Hisham, dalam menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menempatkan pengembara yang pulang dari luar negara di pusat kuarantin, orang ramai harus sedar terdapat sembilan kluster yang merupakan penularan berkaitan kes tempatan dan tidak berkaitan dengan kes import.

Ujarnya, ini menunjukkan masyarakat sememangnya telah mulai alpa dan leka, lalu mula tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Soalnya pematuhan kepada arahan untuk duduk di rumah, mengasingkan diri daripada anggota keluarga. Umumnya dipatuhi dengan baik tetapi ada juga kes sebaliknya apabila ada anggota keluarga dijangkiti COVID-19 kerana wujudnya pergaulan dalam kalangan mereka yang diarah kuarantin.

“Ini seperti kes kepulangan dari Rusia dan Nigeria. Saya amat berharap, perkara ini dipatuhi untuk keselamatan semua,” tegasnya. -Oleh -M.H HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.