Defisit fiskal diturunkan secara berperingkat

39

21 JULAI: Kerajaan menyasarkan kadar defisit fiskal negara akan dapat diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata defisit fiskal pada tahun ini dijangka meningkat antara 5.8 peratus dan enam peratus, berbanding 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan sebelum ini.

Tengku Zafrul berkata, semua langkah yang diumumkan dalam pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi negara yang membabitkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM45 bilion adalah bersifat ‘one-off’ dan tidak akan terus membebankan kewangan kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Ini adalah antara strategi kerajaan bagi mengurangkan defisit fiskal dalam jangka masa sederhana secara berperingkat, seterusnya memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara kekal pada paras terkawal.

“Kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan bagi mengukuhkan lagi kedudukan kewangan kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Amiruddin Hamzah (BEBAS-Kubang Pasu) yang bertanya mengenai strategi kerajaan untuk mengembalikan defisit fiskal ke paras tiga peratus dalam tempoh antara dua dan tiga tahun selepas mencapai 6.9 peratus, susulan pengenalan beberapa pakej rangsangan semasa pandemik COVID-19.

Tengku Zafrul menjelaskan, kerajaan pernah menurunkan kadar defisit selepas krisis ekonomi dunia sebelum ini iaitu daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.8 peratus pada 2013 serta 3.4 peratus pada hujung 2019, dan ia adalah hasil disiplin fiskal kerajaan dan juga institusi kewangan negara.

“Pada masa ini, kerajaan mengguna pakai Kerangka Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal untuk jangka sederhana (tiga hingga lima tahun), selain selari dengan Rancangan Malaysia jangka panjang.

“Selain itu, kerajaan juga dalam proses merangka Akta Kebertanggungjawaban Fiskal (FRA) untuk memastikan pengurusan fiskal dan hutang yang lebih baik dan telus,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Amiruddin mengenai langkah spesifik yang akan dilaksanakan bagi mencapai prestasi kutipan hasil dan sumber asli baharu yang boleh digunakan, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan meneroka semua pilihan yang ada termasuk mempelbagaikan sumber hasil.

“Bagaimanapun, keutamaan kerajaan ketika ini adalah melindungi rakyat dan menyokong perniagaan agar ekonomi dapat diperkukuh dan dipulihkan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.