15 lagi hari ini, kes aktif kini 130

28

21 JULAI: Peningkatan jangkitan baru COVID-19 terus menunjukkan trend membimbangkan apabila 15 kes lagi dilaporkan hari ini dan lebih meresahkan apabila 11 daripadanya kes tempatan.

Ini menjadikan kes kebolehjangkitan COVID-19 yang sedang dirawat di hospital di seluruh negara terus meningkat hari ini menjadi 130 kes – sedangkan kes aktif terendah adalah 63 kes 9 Julai lalu.

Malah, satu lagi kluster baru turut dilaporkan iaitu kluster Sentosa di Kuching, Sarawak melibatkan sebuah perubatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 11 kes tempatan hari ini, sembilan kes berlaku di Sarawak manakala satu kes dilaporkan di Selangor dan satu lagi di Sabah.

Katanya, kes di Sarawak termasuk seorang bukan warganegara melibatkan kes di Depot Imigresen manakala kluster Sentosa mencatatkan lima kes dan kluster lain masing-masing mencatatkan satu kes.

“Empat kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

“Empat kes import tersebut adalah dari negara Belanda (1 kes); Arab Saudi (1 kes) United Kingdom (1 kes) dan Indonesia (1 kes),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, hari ini juga tiada kes kematian baru dilaporkan dan empat pesakit COVID-19 dilaporkan berada di ICU.

Mengena kluster Sentosa, beliau berkata, kes pertama kluster ini merupakan seorang petugas kesihatan yang telah mengalami gejala saluran pernafasan pada 13 Julai 2020 dan dikesan positif COVID-19 pada 19 Julai 2020.

Katanya, susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan dengan 61 orang telah disaring dan didapati lima kes positif COVID-19.

“Perkhidmatan hospital tersebut masih diteruskan. Namun demikian, hospital tersebut tidak menerima pesakit dalam manakala pesakit luar pula akan dirujuk ke hospital berdekatan yang ditetapkan untuk rawatan buat sementara waktu.

“Langkah pembendungan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar sedang dijalankan. Punca jangkitan kluster masih di dalam siasatan,” jelasnya. -Oleh M.H HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.