Tumpu pelancongan domestik tarik pengunjung

80

20 JULAI: Kerajaan negeri perlu memberi tumpuan kepada pelancongan domestik bagi merancakkan semula sektor pelancongan negeri yang dilihat terganggu oleh isu kesihatan global susulan penularan COVID-19.

Memetik laporan BERNAMA, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam berkata, ia kerana 69.6 peratus daripada jumlah kedatangan pelancong ke Melaka tahun lepas terdiri daripada pelancong domestik.

“Saban tahun Melaka masih menjadi destinasi pilihan pelancong dari seluruh pelosok negara hasil daripada usaha promosi yang berterusan oleh kerajaan negeri namun sektor pelancongan antara yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

“Namun saya percaya kerajaan negeri boleh memberi fokus kepada pelancongan domestik pada waktu ini menerusi pelbagai program atau promosi untuk menarik kedatangan mereka ke Melaka,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri di Melaka, hari ini.

MOHD ALI RUSTAM

Terdahulu, beliau menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kehormatan utama Rejimen Kedua Kor Armor Diraja sebelum berarak masuk ke dewan utama untuk menyampaikan ucapan perasmian.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

Mohd Ali berkata, selain pemuliharaan warisan ketara, penekanan terhadap warisan budaya tak ketara seperti dondang sayang dan silat yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) perlu diberi tumpuan agar warisan itu boleh dinikmati generasi akan datang.

Beliau berkata, ia selaras dengan kedudukan Melaka yang kaya dengan elemen kebudayaan dan sejarah agar semua produk pelancongan itu sentiasa berada dalam keadaan baik, selain melaksanakan usaha berterusan dengan menambah lagi pelbagai produk pelancongan baharu bagi menarik kedatangan pelancong.

Sementara itu, Mohd Ali menyarankan kerajaan negeri menggiatkan semula bidang perusahaan bioteknologi kerana bidang itu amat luas untuk dipelopori dan berpotensi sebagai enjin pertumbuhan negeri dan negara selain mampu mewujudkan peluang pekerjaan bersifat technology driven yang boleh meningkatkan pendapatan rakyat.

“Perbadanan Bioteknologi negeri harus mempunyai azam dan cita-cita jelas untuk membawa bidang bioteknologi Melaka ke peringkat lebih tinggi dan berupaya menjadi sebagai pusat penyelidikan, pusat perkembangan ilmu dan pusat rujukan.

“Banyak teknologi baharu boleh dikomersialkan untuk membantu pertumbuhan ekonomi negeri berteraskan inovasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal bersidang esok, mengamalkan nilai-nilai murni supaya menjadi contoh kepada masyarakat kerana amalan tersebut mencerminkan kematangan setiap pemimpin.

Katanya, perbalahan tidak berkesudahan hanya akan merugikan semua pihak, sebaliknya perbezaan pendapat perlu ditransformasikan menjadi landasan ke arah kerjasama dalam satu pasukan seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali berkata jumlah kutipan zakat di Melaka pada tahun lepas ialah RM98.84 juta dan Zakat Melaka menyasarkan kutipan zakat harta dan fitrah sebanyak RM104.6 juta tahun ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.