Tindakan tegas perbuatan biadab hina wira negara

106

20 JULAI: Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab menconteng lukisan mural wajah wira-wira negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12, Shah Alam sebagai penghargaan terhadap mereka yang bekerja keras dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata, mereka bukan menconteng sahaja malah turut menulis perkataan kesat termasuk pada wajah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan perbuatan biadab itu secara jelas melanggar undang-undang negara.

Ahmad juga berharap agar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera agar kejadian sedemikian tidak lagi berulang sekali gus mendidik masyarakat untuk menghargai perjuangan pasukan barisan hadapan dalam menentang COVID-19.

“Saya ingin menarik perhatian Setiu, satu perkara yang berlaku walaupun kelihatan kecil tetapi amat besar maknanya. Mural lukisan dinding di Shah Alam yang ada potret Yang di-Pertuan Agong, Ketua Pengarah Kesihatan, YB (Yang Berhormat) Perdana Menteri YB Pagoh, Menteri Kanan YB Bera, Menteri Jakim, YB Marang telah diconteng dengan perkataan yang amat tidak sesuai.

“Dan saya kira Majlis (MBSA) kena ambil tindakan segera terhadap orang yang lakukan. Kita harap ada CCTV (kamera litar tertutup) yang merakam perbuatan tak kira waktu bila,” katanya.

Kakitangan MBSA mengecat semula bagi memadamkan mural yang telah diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau mencelah ketika Ahli Parlimen PAS Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Difahamkan, MBSA telah mengambil tindakan memadamkan mural yang menjadi mangsa perbuatan vandalisme itu hari ini.

Terdahulu, dalam perkembangan lain, Ahmad bangkit mencelah bagi memperbetulkan dakwaan kurang tepat oleh Ahli Parlimen PH Jelutong , RSN Rayer kononnya Himpunan Solidariti Untuk Rohingya di Kuala Lumpur pada 4 Disember 2016 sebagai menggalakkan kebanjiran pendatang tanpa izin di negara ini.

“Itu sebenarnya solidariti kerana penindasan terhadap Rohingya.. bukan nak menjemput masuk ke sini. Solidariti terhadap kezaliman Rohingya. Ini nak berbetulkan tafsiran buruk oleh Jelutong,” tegas beliau.

Penjelasan Ahmad itu menyebabkan Rayer terkedu dan seterusnya, Shaharizukirnain menyambung perbahasannya tanpa sebarang gangguan lagi. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.