Polis tahan 383 individu ingkar arahan PKPP

42

20 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 383 semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 32 individu telah direman manakala 351 individu lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam melibatkan 328 individu serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) seramai 55 individu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, PDRM berjaya menahan 14 warga asing dalam Operasi Benteng semalam melalui pemeriksaan 36,001 kenderaan di 65 sekatan jalan raya.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, mulai 10 Jun hingga semalam, Kementerian Kesihatan telah membuat saringan ke atas 22,076 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA.

“Daripada jumlah ini, 21,998 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

“78 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” ujarnya.

Beliau menambah, PDRM juga telah membuat 1,365 pemantauan pematuhan SOP kuarantin wajib di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhinya.

Selain itu, seramai 1,062 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Indonesia, Taiwan, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Singapura, Australia, Filipina, New Zealand, China, Hong Kong dan Mesir.

“Seramai 1,061 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala seorang individu telah dibawa ke hospital,” katanya.

Ismail Sabri menyatakan, sepanjang 20 April sehingga semalam, jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP adalah 3,225 tapak binaan manakala 541 tapak binaan lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran.

“Penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembangunan (CIDB) turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk ditutup kerana tidak mematuhi SOP,” jelasnya.

Semenyara itu, beliau berkata, pemantauan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap 12 jenis bekalan barangan di 684 premis perniagaan semalam mendapati bekalan barangan keperluan mencukupi serta mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan 1,560 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,548 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 9 premis diberi nasihat dan 3 premis lagi diberi amaran kerana tidak patuh SOP,” katanya.

Ismail Sabri menambah, sejak 13 Mei lalu, sebanyak 126,781 premis telah diperiksa oleh KPDNHEP dan daripada jumlah itu, sebanyak 119,433 premis didapati patuh SOP selain 5,497 premis telah diberi nasihat manakala sebanyak 297 premis pula diberi amaran kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.